BUNYIAN loceng yang
tanpa henti begitu membingitkan telinga Fahim Daniel. Bibirnya diketap geram.
Siapa pulak yang memekak pagi-pagi buta ni? Gebar ditarik tinggi menutupi wajah.
Tapi, gebar itu mula menyorot jatuh perlahan-lahan. Fahim Daniel membuka
matanya. Kecil sahaja. Hantu mana pulak pagi-pagi buta ni?
Matanya kembali dipejam dengan tangannya
menarik gebar itu kembali. Namun, tidak lama selepas itu, gebar itu sekali lagi
menyorot jatuh. Fahim Daniel mendengus. Matanya terbuka luas. Siling putih yang
terpampang di matanya dikalihkan segera. Melilau matanya mencari sesuatu. Mana
hantu ni? Main-main pulak dengan aku. Pandangannya agak kabur. Matanya juga
terasa perit. Terus, kepalanya dijatuhkan kembali menghempap bantal empuknya.
Nafas panjang dihela. Tangannya kemudian sibuk meraba-raba sana sini di
sebelahnya.
“Hmmm.” Bunyi rengekan manja menyentakkan
Fahim Daniel. Segera matanya yang mengecil terbuka luas. Kepalanya yang
berbaring secara tegak mula bergerak berpaling ke arah suara itu. Persoalan
akan siapakah yang tidur bersamanya begitu menggasak fikirannya. Tapi ternyata,
persoalan itu tidak lama.
Huh. Helaan nafas lembut terhela di situ.
Baru dia ingat. Fahim Daniel senyum panjang. Semalam. Kepalanya ternaik ke atas
sedikit. Sekali lagi bibirnya tersenyum. Peristiwa semalam kembali menjengah
dalam mindanya. Peristiwa yang sungguh indah! Pakaian-pakaian yang
bergelimpangan di atas lantai menjadi bukti pada kejadian semalam. Nikmat
dunia. Ah! Sungguh tidak terkata. Terus, matanya menjeling ke sisi.
Dari posisi baringnya yang menelentang terus
ditukar dengan mengiring ke kanan. Sekujur tubuh yang sedang tidur dalam
keadaan yang cukup seksi. Fahim Daniel telan liur. Nafsunya kembali memuncak.
Rambut perang yang mengurai panjang diusapnya lembut.
“Hmmm..” rengekan manja kedengaran lagi.
Fahim Daniel tergelak kecil. Akibat, tidak tahan mendengar suara serak basah
yang cukup seksi itu, tubuhnya diturunkan agar sama kedudukannya dengan Azura.
Sekali lagi liurnya diteguk. Gulp! Tubuh Azura yang hanya mengenakan pakaian
tidur berwarna hitam yang seksi dengan tali lace
backless itu begitu menggodanya. Desah nafasnya seakan tidak teratur.
Kawalan mindanya juga seakan-akan sudah hilang pertimbangan. Iman di dada sudah
hilang ditelan arus nafsu yang menggila, sebaliknya hasutan syaitan dijadikan
sandaran utama. Lalu, bibirnya didekatkan ke arah bibir mungil Azura. Dekat dan
semakin rapat. Fahim Daniel tidak sabar lagi mahu menjamah bibir itu entah
untuk buat kali ke berapanya. Perlahan-lahan, dan sesaat dua dikala bibir itu
mahu bertemu…
Ting tong!! Ting tong!!
Fahim Daniel mendengus. Aduh!
Siapa pulak? Tak habis-habis lagi ke? Ingatkan dah balik! Huh! Fahim Daniel
merengus. Kacau betullah!
Ting tong!! Ting Tong!!
Lagi! Fahim Daniel menggeleng.
Hilang moodnya. Tangannya naik ke dahi. Aduh! Pening aku dibuatnya. Lagi bunyi
loceng itu masih tidak berhenti. Argh! Stress! Mahu menempik kat sini pun ada.
Kepalanya menjeling ke sisi.
Ting tong!
Bosan dan dengan rasa serabutnya
yang mencengkam dirinya di kala ini, tubuh Azura ditolaknya malas.
“Azura! Azura! Bangun.” Seru
Fahim Daniel malas. Tubuh itu digoncangkan dengan hujung kakinya. Tapi, tiada
respon. Tidur mati ke? Lalu, tangannya pula yang bergerak. Ditolak tubuh Azura
sekuat hatinya ke kanan dan ke kiri.
“Weh! Azura! Azura! Bangunlah.”
Beberapa kali digoncang barulah tubuh itu kelihatan seperti ada pergerakan
sedikit.
“Hurm.. Ada apa sayang? I
penatlah. Sepanjang malam berjaga, bagilah I tidur sikit lagi. Jom sayang kita
tidur.” Kepala Azura yang mula meliar ke dada Fahim Daniel segera ditolak.
Terjaga Azura dibuatnya akibat kuatnya goncangan itu. Kepalanya diusap lembut.
Apa kena dengan mamat ni? Angin tidak, ribut pun tidak tiba-tiba nak mengamuk
pulak. Semalam bukan main lagi you sayang I, I sayang you. Tapi, hari ni?
“You ni kenapa, sayang?
Pagi-pagi, dah buat I macam ni? Sakit, I tahu tak?” Adu Azura tidak berpuas
hati. Fahim Daniel buat bodoh.
“Tolong bukakkan pintu tu. Entah
siapa yang memekak pagi-pagi buta ni. Kalau ada yang tanyakan I, you jawab aje,
I dah lama pergi kerja.” Azura memuncung panjang. Memang menyiksa betul ni.
Nasib baik aku sayang kau. Kalau tidak jangan harap aku nak dengar cakap kau
ni. Dahlah mengantuk ni. Bibir Azura memuncung sedepa. Dengan langkah yang
malas, diturutkannya jua suruhan itu.
Langkahnya penuh longlai dalam
menuju ke arah pintu utama. Matanya pun masih tercari-cari di mana pintu utama.
Sakit juga matanya akibat terpanah dengan sinaran matahari. Ni dah jam berapa
ni? Awal pagi lagi dah meninggi matahari. Bodoh! Gumam Azura sendiri.
Ting tong! Ting tong!
“Arghh! Tunggulah kejap. Tak
sabar-sabar. Tak nampak ke orang baru bangun tidur ke apa? Bodoh punya orang.
Nak datang, datanglah lambat-lambat sikit. Tak reti tengok jam ke apa? Memang
nak kena sekolahkan budak….” Azura terdiam. Tubuhnya kaku. Mulutnya terasa
keras dan kejang. Mahu ditutup mulutnya tidak bisa. Terasa sungguh berat.
Dirinya agak takut dengan apa
yang terhidang di hadapan matanya. Lalu, pintu utama tersebut dibiarkan
ternganga dengan luasnya. Sementara kakinya pula melangkah laju berlari-lari
anak menuju ke arah kamar peraduan antaranya dan Fahim Daniel. Dia perlu
mendapatkan Fahim Daniel, sekarang ini! Dalam saat-saat genting begini akalnya
tidak boleh berfungsi dengan baik. Lalu, tubuh Fahim Daniel segera dirapati.
“Sayang! Sayang! Sayang bangunlah.”
kejut Azura berulang kali dengan nadanya yang tidak tertahan.
“Hurm. Ada apa?” Fahim Daniel
membuka matanya sedikit. Terpampang wajah seksi Azura. Bibirnya mengoyak
senyum. Lalu pinggang Azura ditarik ke arahnya.
“Ee! Sayang! Bangun!” Azura
geram. Tadi bila dia liat nak bangun bukan main dimarahnya. Ini bila time dia
pulak? Huh, benci!
“Hurm.. Ada apa ni? Tidurlah
dulu. Awal lagi.” Rengek Fahim Daniel. Tidak faham dengan mood Azura yang jelas berubah-ubah. Baru tadi perempuan itu
merungut itu dan ini akibat dirinya dikejutkan dari lena yang panjang.
Sekarang? Dah tak mahu tidur ke?
“Mama you. Mama you, sayang.”
Dengar aje nama mama, mata Fahim Daniel celik luas. Wajah Azura dipandang.
Inginkan kepastian. Namun, tiada pula tanda-tanda perempuan itu main-main.
Mama?
“Apa you cakap tadi?” kelihatan
Azura sedikit kalut dengan kepalanya memanjang memandang ke arah luar sana.
“Ehh.. Mama you, sayang. Dekat
luar. Mama you datang.”
“What?!” menganga mulut Fahim
Daniel. Tak percaya. Mama! Mama datang? Sini? Rumahnya? Alamak! Dia perlu
menyorok sekarang.
“You nak pergi mana tu?” halang
Azura.
“Kalau mama I masuk dalam, you
cakap aje I tak ada.” Azura cemas.
“Apa you cakap ni? Tu mama youlah.
Youlah pergi jumpa. Takkanlah I pulak?” Fahim Daniel kaku.
“Ah, you cover linelah. Sebab
mama dah nampak muka you, so alang-alang youlah pulak yang kena jumpa mama I.
Apa-apapun kalau mama I tanya tentang I, pandai-pandailah you kelentong, ya. I
pergi dulu.” Fahim Daniel bergegas menuju masuk ke dalam tandas. Hanya itu
sahaja ruang yang dia percaya yang boleh dijadikannya sebagai tempat persembunyiannya
di kala ini.
Azura jelas tidak senang dengan
situasi sini. Dirinya serba serbi tidak kena. Tangannya menggeletar dalam diam.
Sampai hati Fahim Daniel buatnya begini. Apa yang mahu dia lakukan ni? Azura
takut. Derapan langkah terasa seperti kuat hingga boleh dikesan oleh
telinganya. Pasti, mama Fahim Daniel akan datang sini.
Ternyata, benar tekaan Azura itu.
Kini, yang berdiri di hadapannya ini benar-benar mama Fahim Daniel. Perempuan
tua itu tegak berdiri di muka pintu dengan mata yang mencerlung tajam ke kanan
dan ke kiri. Azura turut pandang ke arah yang sama. Tatkala turunnya pandangan
matanya, matanya membulat tatkala mendapati pakaian-pakaian mereka semalam.
Segera, sebelum baju-baju itu dikesan mama Fahim Daniel, terus Azura disembunyikannya.
Perlahan-lahan, kakinya menolak lembut pakaian itu ke bawah katil.
Datin Melati melilau pandang sana
sini. Setelah puas dengan apa yang diperhatikannya, matanya beralih ke arah
sudut yang lain pula. Siapa lagi kalau bukan Azura! Atas dan bawah ditenung Datin
Melati pada gadis itu. Mata tuanya sungguh tidak percaya dengan apa yang
dilihatnya. Sekali lagi dia menilik pada pakaian Azura. Ya Allah. Sungguh, dia
tidak percaya. Mahu tercabut jantungnya. Subhanallah. Dia sebagai perempuan sudah
cukup malu memandang gadis ini berpakaian begini di hadapannya, inikan pula
anak dara ini berpakaian sebegini di dalam rumah anak terunanya. Oh, ya! Anak
terunanya, Fahim Daniel. Mana dia?
“Eh, auntie. Auntie buat apa
datang sini?” Azura memulakan bualan antara mereka. Ingin memecah suasana sunyi
yang merajai mereka ketika itu. Huluran salam dihulurkan Azura buat Datin
Melati. Sayangnya hulurannya itu dibalas dengan jelingan tajam sahaja. Azura
menarik kembali huluran salamnya. Huh. Sombong! Ada aku kisah kau tak sambut
salam aku? Aku pun tak hinginlah! Aku pun tak pernah bermimpi nak bersalam
dengan kau pun. Huh! Biadap orang tua ni. Nasib baiklah kau mama si Fahim.
Kalau tidak jangan harap aku nak tenung muka kau. Menyampah!
“Fahim mana?” soalan pertama itu
membuatkan Azura kembali ke alam nyata. Cuak! Itu yang dirasakannya. Aduh!
Soalan pertama ini pun dia sudah panjang jela jedanya. Sampai bila dia perlu
berdiam diri? Apa yang perlu dia jawab sekarang ni? Azura kaku. Otaknya beku dari
mencari jawapan akan apa yang ingin dicarinya.
“Fahim mana?” lagi soalan itu
diulang Datin Melati.
“Huh?” Azura tidak tahu apa yang
ingin dijawabnya. Bibir bawahnya digigit. Sukar untuk mencari dan mencipta
alasan.
“Oh.. Fahim. Fahim pergi..
Fahim..” tersekat-sekat Azura jadinya. Sudah otaknya blank memanglah dia tidak boleh jawab apa-apa. Datin Melati
merengus dalam diam. Nak tunggu budak ni bagi jawapan, memang sampai subuh esok
aku kena berdiri tegak kat sini. Terus, langkahnya disusun menuju ke arah
almari. Azura mengikuti satu persatu langkah Datin Melati. Liurnya ditelan.
Gaya nak cari anak persis macam
polis buat spotcheck aje. Satu
persatu digeledahnya. Teliti matanya menjelajah dari satu ke satu sudut. Aih,
kalau macam ni matilah aku! Kalau dijumpanya di mana Fahim, pasti Fahim akan
marahkan aku. Aduh! Macam mana ni? Datin Melati tajam meneliti satu persatu
ruangan di dalam kamar anaknya. Kosong.
Tiada apa-apa tanda anaknya ada
di sini. Tapi, firasatnya tetap kuat mengatakan anaknya berada di sini. Karna,
kalau tidak mustahil anak dara tak tahu malu ni boleh lepas masuk ke dalam penthouse anaknya ini. Rasa curiganya
membuak-buak. Tapi.. di mana anaknya berada? Puas dikelilingi ruangan dalam
kamar anaknya. Betul ke anaknya ada di sini?
Mata tuanya sekali lagi merantau.
Di kala itu, matanya terhenti pada pintu tandas. Pintu itu separuh ternganga.
Atas desakan rasa hati diturutkan kemahuan hatinya. Azura gigit bibir bawahnya.
Ah, sudah!
“Fahim dah pergi kerja,” pintas
Azura laju, sekaligus menghalang langkah Datin Melati dari mendekati pintu
tandas tersebut. Datin Melati berhenti. Dahinya berkerut. Kenapa baru sekarang
nak terluah jawapan yang aku tanya tadi? Ini mesti ada yang tak kena ni, tebak
Datin Melati.
Lantas, kata-kata Azura
diabaikan. Kakinya laju melangkah ke arah tandas tersebut. Dada turun naik.
Tidak sabar mahu melihat apa yang ada di sebalik tandas itu. Terus, dibukanya
pintu tersebut.
“Subhanallah! Fahim!”
MATA tajam yang merenung dirinya
dibuat endah tidak endah sahaja. Gelisah sedang menghantui dirinya. Namun, rasa
itu begitu bijak dikawalnya. Bebola mata sengaja dilarikan dari memandang
mamanya. Datin Melati pula mahu tercekik urat saraf segala sendi-sendinya.
Ingatan pada apa yang berlaku beberapa jam yang lepas terasa seperti mencekik
darahnya. Boleh anaknya hanya tersengih kambing macam tak ada apa-apa yang
berlaku dalam tandas tadi. Oh. Panasnya hati. Sabarkan ajelah. Kepala Fahim
Daniel setia menunduk. Malas mahu diangkat pandangan matanya.Bukannya malas
tapi sebenarnya dia takut! Takut jika nanti makin sakan mamanya membebel itu
dan ini. Datin Melati menggeleng.
“Siapa perempuan tu?” kepala
Fahim Daniel menoleh ke kanan dan ke kiri, seperti mencari sesuatu. Datin
Melati menjeling tajam pada anak terunanya. Buat-buat tak fahamlah tu.
“Tak usah buat muka blur macam tulah. Mama maksudkan
perempuan pagi tadi. Yang ada di…” Datin Melati berjeda sejenak. Rasa bagaikan
tersekat di kerongkongnya pabila perihal pagi tadi bermain di dalam kotak
fikirannya. “di bilik kamu.” Akhirnya terluah jua ayat yang tersekat itu.
“Oh.. Azura.” Sepatah ayat itu
meluncur laju dari bibir Fahim Daniel. Langsung tiada riak mahupun nada
bersalah ataupun takut di situ. Datin Melati mengetap bibirnya.
“Dia perempuan yang ke berapa?”
Fahim Daniel bangun dari bersandar pada sofa. Soalan mamanya begitu aneh pada
pendengarannya. Terus, matanya tegak memandang pada mamanya.
“What do you mean, ma?” kening di sebelah kirinya terangkat. Datin
Melati menghembuskan nafasnya senafas. Lembut.
“Apa kamu buat semalam?” Datin
Melati berlaku jujur akan apa yang sedang bermain di dalam mindanya.
“Woo. Woo. Mama. Fahim
rasa mama dah fikir jauh ni. Mama, there
was nothing happen last night.” Terang Fahim Daniel. Datin Melati merenung
jauh ke dalam dasar anak mata anaknya. Penjelasan yang baru sahaja diakui oleh
anaknya sememangnya tidak dapat menenangkan hati tuanya.
“Betul?” Fahim Daniel mengeluh.
“Ma, percayalah. Tak ada apa-apa
yang berlaku semalam. Kenapa mama nak kecoh-kecoh sangat ni?” ucap Fahim Daniel
sedikit tidak berpuas hati.
“Kenapa mama nak kecoh-kecoh?
Hei, mana-mana orang pun akan fikir macam apa yang mama fikir tau. Yelah, apa
lagi nak difikirkan kalau tengok seorang perempuan dengan bajunya macam tu and dengan kamu yang hanya berseluar pendek
macam tu? Kamu ingat orang akan fikir baik-baik ke kalau mereka dekat tempat
mama?” Fahim Daniel menyandarkan tubuhnya kembali.
“Jadi, mama tak percayalah ni?”
“Yes! Memang mama tak percaya. Kamu ingat mama bodoh nak percaya
yang tak ada apa-apa berlaku semalam antara kamu dengan dia?” jawab Datin
Melati laju, seumpamanya sudah lama jawapan itu bertapak di dalam benaknya.
“Mama, semalam. Kitaorang hanya
makan-makan, minum-minum. Kitaorang enjoy
aje semalam. Lepas tu, kitaorang tidur. The
end. Tak ada apa-apa yang lebih berlaku semalam, ma. Now, you believe me, ma?” panjang Fahim Daniel menerangkannya pada
Datin Melati. Sayangnya, kata-kata itu tetap tidak dapat meraih kepercayaan
mamanya.
“Huh, kamu ingat mama nak
percaya? Enjoy apa ke bendanya? Sudahlah,
Fahim. Mama dah muak dah dengan alasan kamu. Bukannya sekali dua mama
terserempak dengan insiden macam ni, dah banyak kali. Kamu ingat mama ni tak
sekolah ke? Eh, antara perempuan dengan lelaki pasti ada syaitan sebagai yang
ketiga. Kamu ingat syaitan tu bodoh nak tengok kauorang duduk saja-saja berdua
macam tu?” Fahim Daniel memejam matanya. Urghh! Kenapa susah sangat nak
kelentong mamanya ni? Argh! Stress!
“Kenapa susah sangat mama nak
percaya ni? Fahim anak mama kan? Takkan mama tak percaya cakap anak sendiri?”
rasa mahu mengamuk pun ada. Mengamuk sampai mamanya percaya dengan kata-katanya.
“Memang mama tak percaya. Dalam
banyak-banyak bilik yang ada dekat rumah kamu yang besar ni, kenapa bilik kamu
jugak yang perempuan tu pilih kalaupun dia sekadar nak bermalam di sini?” Fahim
Daniel terdiam. Bebola matanya bergerak ke kanan dan ke kiri.
“Dah Fahim yang ajak.” Mudah
benar jawapan anaknya. Rasa mahu terbakar hati dan jantungnya tatkala
terdengarkan jawapan mudah anaknya itu. Mahu dicekik-cekik anaknya pun ada.
“Sebab kamu yang ajaklah, mama
tak percaya.” Fahim Daniel mengetap bibirnya. Belakang kepalanya digaru-garu.
“Okey. Sekarang, mama nak Fahim
buat apa supaya mama nak percaya dengan apa yang Fahim cakapkan?” Fahim Daniel
cuba untuk berdiplomasi dengan mamanya.
“Kamu berilah bukti macam mana
sekalipun, mama dah tawar hati nak percaya. Macamlah mama tak kenal dengan
kamu.” Fahim Daniel mengigit bibir bawahnya. Dia terkena lagi. Kenapa susah
sangat mamanya nak percaya kali ini?
“Kamu tahu tak apa yang kamu buat
tu berdosa besar, Fahim? Apa kamu tak sedar ke?” tambah Datin Melati lagi.
“Alah mama, relakslah. Bukannya
ada apa-apa pun. Bukannya Fahim yang mintak. Dia yang bagi. Kita panggil
konsepnya give-and-take. Dalam bahasa
kitanya, orang memberi kita menerima, ma.” Datin Melati mengancingkan giginya.
Rapat. Geram melihat aksi senyuman dari Fahim Daniel itu. Dalam makna tersirat
seperti anaknya sudah menceritakan perihal sebenar akan apa yang berlaku
semalam. Maknanya tekaannya tadi benar belaka. Makin membara dada Datin Melati.
Mahu disiat-siat rasanya kulit anaknya ketika ini. Geram!
“Relaks kamu cakap? Give and
take? Eh, kamu jangan main-main Fahim. Dosa ni dibawa sampai ke mati. Kamu
jangan buat macam dunia ni macam kamu yang punya. Apa dah jadi dengan kamu ni,
Fahim? Sampai tahap macam ni sekali kamu dah jadi? Betapa teruknya akidah kamu.
Ya, Allah. Kalau mama bagitahu papa…” ceramah free itu hanya dipekakkan Fahim Daniel sahaja. Khutbah percuma
ekskulif bersama Datin Melati. Namun, di saat telinganya mendengar sahaja nama
papanya terus Fahim Daniel menjadi gugup pula. Lantas, kata-kata mamanya
dipintas laju.
“Okey. Sekarang, mama nak Fahim
buat apa? Apa yang Fahim boleh buat supaya dosa yang mama cakapkan tu boleh
terhapus?” Datin Melati menggeleng sahaja. Nampaknya, anaknya bagaikan sudah
terpesong jauh dari landasan agama yang sebenarnya.
“Mama nak Fahim kahwin dengan
dia?” tiba-tiba sahaja kata-kata itu meluncur laju dari bibir Fahim Daniel.
Entah kenapa cadangan gila itu bisa terlintas di dalam benaknya. Melihatkan
kebisuan mamanya membuatkan Fahim Daniel terfikir akan cadangan yang
dianggapnya bodoh itu. Datin Melati kelihatan terdiam.
“Boleh jugak. Kamu dah bersedia,
ya? Mama suka dengan cadangan kamu tu.” mata Fahim Daniel membulat.
“What? No!” Fahim Daniel
membantah akan kata putus mamanya itu.
“Kenapa pulak? Bukan kamu yang
berikan cadangan tu? Mama okey aje. Setuju.” Fahim Daniel menggeleng. Tidak!
Memang dia akan membantahlah jawabnya. Dia hanya bercanda sahaja, seperti ingin
menyindir mamanya. Namun, tidak dia sangka pula mamanya akan bersetuju. Kahwin?
No! Tak mungkin. Dengan siapa? Azura?
Tak! Memang sampai kiamat dia tak mahu memperisterikan perempuan tu. Perempuan
tu, hanyalah tempat persinggahan sementara buatnya.
“Mama jangan main-main. Soal
kahwin ni untuk sehidup semati, ma. Mama nak Fahim kahwin dengan siapa pulak
ni?” Datin Melati tersenyum dalam diam. Tahu pun tak boleh dibuat main-main. Cuaklah
tu.
“Siapa lagi, perempuan tu la.”
Fahim Daniel tergamam. Terkedu. Tiada kata yang keluar dari bibirnya. Kepalanya
lambat-lambat menggeleng.
“Tak, ma! Gila ke apa mama nak
Fahim kahwin dengan Azura tu. Mama suka dengan dia ke? Mama nak jadikan Azura
tu menantu mama? Dia tersenarai ke?” Fahim Daniel agak gelabah apabila soal
Azura diketengahkan dalam calon menantu Datin Melati ini. Tidak! Dia tak mahu!
Dia tak mahu!
“Dah dia dah jadi pilihan kamu,
mama terimalah. Apa-apa yang jadi pilihan kamu, mama terima. Kamu bawak gajah
sekalipun untuk jadi bini kamu pun mama akan terima.” Sindir Datin Melati dalam
diam pada anak terunanya.
“Tapi, Fahim tak nak jadikan
Azura tu isteri Fahim. Fahim tak nak, ma.” Suara Fahim kedengaran perlahan.
Persis suaranya seperti merayu sahaja. Datin Melati menjeling Fahim Daniel.
Tahu pun tak nak. Nampaknya, anaknya tetap pandai dalam memilih calon isteri.
Hurm. Semakin menarik ni.
“Alah, apa salahnya kalau
perempuan tu.. apa nama dia? Azura?” Fahim Daniel mengangguk. “Ha, Azura tu
jadi bini kamu.” Fahim Daniel mahu gila! Kenapa dengan mamanya? Kenapa begitu
mudah mamanya mahu menerima menantu? Apa mamanya tiada calon ataupun taste tersendiri ke? Atau mamanya sudah
hilang deria rasa? Alahai! Tak nak! Dia tetap tak mahu beristerikan si Azura
tu. Tolonglah!
“Azura tu teruk, ma. Tiap-tiap
hari dia keluar malam. Dan tiap-tiap hari jugaklah dia asyik tukar-tukar
lelaki, ma. Orang macam tu ke mama nak jadikan menantu?” Fahim Daniel jadi batu
api. Datin Melati rasa mahu gelak. Namun ditahankannya sahaja. Jadi, anaknya
tahu perempuan tu teruk. Tapi dia yang menggatal tu siapa suruh. Huh!
“Itu tak apa, Fahim. Bila dia
jadi isteri kamu nanti, dah jadi tanggungjawab kamulah nak didik dia, nak
bimbing dia. Tak apa, lama-lama nanti insyaAllahlah dia akan berubah. Manusia
ni bukannya semua baik. Jadi, jangan kisahlah Fahim. Mana tahu nanti, si Azura
tu boleh jadi lebih baik nanti. Kan?” baik kepala hotak dia, ma! Argh! Fahim
Daniel mengetap giginya. Geram yang teramat kini! Argh! Sumpah dia menyesal
bawak Azura balik ke sini semalam. Perempuan tu memang bawak siallah!
“Mama janganlah buat Fahim macam
ni. Fahim belum bersedia, ma.” Luah Fahim Daniel jujur.
“Kenapa pulak? Baguslah tu. Kamu
akan jadi bertanggungjawab sikit.” Fahim Daniel mencebik.
“Tak payahlah, ma. Sekarang ni
pun, Fahim dah cukup bertanggungjawab, ma.” Datin Melati terdiam lagi. Cuba
menimbal balik pada cadangannya. Lambat-lambat, bibirnya mengoyak senyuman
manis.
“Ah, mama tak kira. Mama tetap
dengan keputusan mama. Mama nak kamu kahwin jugak.” Fahim Daniel mahu gila!
Menyesal dia ajukan cadangan itu tadi. Sangkanya mamanya akan menolak akan
cadangannya. Tapi, sungguh dia tidak sangka mamanya pula setuju.
“Fahim tak nak, ma. Fahim gurau
aje tadi.” Fahim Daniel berterus terang.
“Ah, mama tak kira. Mama suka
dengan cadangan kamu. Siapa suruh kamu bagi cadangan tu? Orang kita kata apa,
terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.” Fahim Daniel
merengus. Cis, mamanya siap menyindirnya lagi. Ah, apa-apa sekalipun dia tetap
tak mahu kahwin. Buatlah apa cara sekalipun jawapannya tetap sama. Dia tak mahu
kahwin jugak! Titik!


Padan muka FD.. aper lagi, kawin la ngan si azura tu...
ReplyDeleteBEST!!!
ReplyDelete