Pengikut Setia.. XD

Wednesday, 3 September 2014

Mini-Novel : Sungguh, Aku Cinta! Episod 7




HANDBRAKE ditarik. Wajah Qisha Aleesha di sebelah dipandang. Qisha Aleesha tidak mempedulikan akan pandangan itu. Fokusnya tegak ke hadapan. Sesekali, bibir bawahnya digigit. Entah apa yang dirasakannya kini, tetapi bila berduan begini antara dirinya dan Fiqri membuahkan perasaan yang kurang enak dalam dirinya.

            Tidak mahu melayani perasaannya, Qisha Aleesha bertindak membukakan terus pintu kereta. Malangnya, pintu kereta itu masih berkunci. Qisha Aleesha menghembuskan nafasnya lembut. Lambat-lambat, kepalanya menghadap Fiqri.

“Pintu.. kunci..” sepatah demi sepatah ayat itu dituturkannya. Fiqri beku reaksinya. Cuma, matanya terpaku kemas pada Qisha Aleesha. Siapakah gadis ini?

“Nak pergi mana? Awak tak jawab lagi soalan saya..” dudukannya dibetulkan agar dapat pandangan yang lebih jelas terhadap Qisha Aleesha. Qisha Aleesha rimas. “Miss Cinderella, siapa awak sebenarnya?”

“Cepat buka pintu ni..” rayu suara itu dalam nada mendatar. Fiqri bereaksi biasa. Qisha Aleesha mendengus geram. Fine! Dia tak nak buka, tak apa. Boleh aje aku buka dengan sendiri. Cuma bimbang dianggap biadap sahaja itu yang dia suruh Fiqri bukakan. Tapi, lihat dari cara lelaki itu, bikin dirinya panas pula.

Tanpa berlengah Qisha Aleesha segera keluar. Fiqri mendengus lembut. Degil betul budak ni. Aduhai. Sabar ajelah.

“Miss Cinderella..” panggil Fiqri. Agak kuat. Membulat mata Qisha Aleesha. Kepalanya toleh kanan dan kiri. Dia bimbangkan sesuatu. Dalam suasana kampung begini, ditambah pula dengan keadaan rumahnya yang agak rapat dengan jiran-jiran yang lain membuatkan ramai yang memasang mata. Tetapi, itu bukan menjadi masalah utama buat Qisha Aleesha. Yang menjadi masalah utamanya adalah ayahnya turut ada sama di sini! Memang menempah mautlah! Aduh!

Salim yang sedang sibuk mengasah parang terhenti asahannya. Kepalanya turut diangkat sama memandang akan panggilan yang agak kuat itu. Dan bila kepalanya diangkat terkejut juga dirinya apabila miss Cinderella yang dipanggil itu adalah anaknya. Qisha Aleesha toleh belakang. Dia perlu settlekan sesuatu! Memang nak kena, mamat ni! Fiqri senyum manis. Tubuhnya berdiri tegak di antara ruangan pintunya yang terbuka sedikit sambil di tangannya berdiri megah di udara dengan bungkusan plastik kecil berlabel Klinik Rahim di situ.

Qisha Aleesha tarik nafas. Kakinya dilangkah laju dalam menuju ke arah Fiqri. Bibir diketap. Fiqri tahu Qisha Aleesha marah tapi lantaklah. Dia suka! Nampak comel! Dia tahu Qisha Aleesha tidak berani memarahinya. Bungkusan plastik itu dirampas segera dari Qisha Aleesha. Bersama ketapan di giginya, laju kata-kata itu diluncurkannya.

“Terima kasih.” Fiqri gelak. Suka dengan nada suara itu.

“Awak tahu kenapa saya panggil awak Miss Cinderella?” kepala Qisha Aleesha didongakkan ke atas. Menentang mata Fiqri. Fiqri gelak kecil.

It seems like you’re getting interested into what I’m saying.” Ah, sudah! Dia sudah ditangkap. Alah, malunya! Wahai hati, kenapa begitu mudah kau menunjukkan rasa minat terhadap apa yang dia nak cakap tadi? Aduh! Bikin malu aje.

“Awak ingat pertemuan kita yang pertama dulu? Awak ada tinggalkan sesuatu untuk saya.” Qisha Aleesha kerut dahi. Dia tinggalkan apa? Setahunya, dia hanya tinggalkan kesan tapak kasut di paha lelaki itu gara-gara ingin memeluknya.

“Cinderella tinggalkan puteranya kasut kaca bagi saya itu sudah kejam, kerana telah menyusahkan sang putera untuk mencari jejak si puterinya kembali. Tapi, saya tak sangka sekejam-kejam Cinderalla ada lagi manusia lagi kejam dari dia. Iaitu awak. Awak langsung tak tinggalkan saya sebarang jejak untuk saya cari awak.” Qisha Aleesha mendengus. Huh. Cerita fantasi yang tak pernah wujud. Ada dikaitkan cerita itu dengan dirinya? Huh? Tolonglah.

“Kalau macam tu, awak tak layak gelarkan saya miss Cinderella. Tak sesuai. So, stop it. Saya tak suka!”

“Kalau macam tu, bagitahu saya nama awak.” Qisha Aleesha diam.

See? Macam mana saya nak panggil nama awak, sedangkan saya tak tahu siapa awak. Tapi, awak tahu kenapa saya panggil awak Miss Cinderella? Ahh.. Bila saya fikirkannya balik, awak memang tak tinggalkan jejak buat saya tapi apa yang saya tahu awak dah rampas hati saya. Rasanya sangat sakit bila separuh hati saya sudah dibawa lari. Rasanya mencucuk-cucuk. Aduh. Apalah nasib badan. Setiap hari saya berdoa supaya saya dipertemukan kembali dengan separuh hati saya. Dan.. akhirnya.. Nasib baik hati saya punya radar yang sangat kuat. Hati saya akan berdegup kencang bilanya awak ada di sekeliling saya. Dup dap.. Dup dap.. Berdegup tanpa henti. Degupannya.. Pergh! Awak sendiri tak boleh bayangkan macam mana.” Qisha Aleesha menggeleng. Berkerut-kerut dahinya mendengar cerita dari Fiqri itu.

“Dah. Hentikan aje cerita merapu awak tu.” Qisha Aleesha sudah bosan.

What? Merapu? Mana ada! Nonsense! Apa yang saya cakapkan adalah lahir dari hati saya yang murni.” Fiqri semakin tidak terkawal. Qisha Aleesha mengeluh. Apa nasibnya bawa balik lelaki ini ke sini?

“Dahlah. Awak boleh balik. Bye!” pintu kereta Fiqri ditolak lembut. Tertolak badan Fiqri ke belakang.

“Alah. Tunggulah kejap. Sampai hati, awak. Tak sedarkah awak dah lukakan hati saya secara diam? Tak pernahkah kau sedari, akulah yang kau sakiti. Engkau pergi dengan janji..” Qisha Aleesha mengigit bibirnya. Resah dirinya apatah lagi dengan keletah Fiqri yang dengan selamba badak menyanyikan lagu Judika iaitu Aku Yang Tersakiti itu. Pencemaran bunyi betullah si Fiqri ni. Tidak mahu suara itu berterus-terusan bergema, terus mulut itu ditekup Qisha Aleesha. Fiqri diam. Di sebalik tekupan tangan Qisha Aleesha itu, bibirnya tersengih nakal. Ah! Wangi betul bau tangan dia. Aduhai. Memang aku dah angau.

Please, Fiqri. Balik, ya. Terima kasih sebab sudi hantar saya ke klinik. Okey? Awak boleh balik, sekarang.” Tekupan itu terlerai. Qisha Aleesha menarik nafas dalam-dalam. Mencari kesabaran kerana sabarnya terasa semakin menipis. Nak marah tak sampai hati sebab dia sudah hutang budi. Sudah dua kali pulak tu!

“Kenapa kejam sangat? Dia baru aje sampai. Takkan tak nak ajak masuk?” Alamak! Qisha Aleesha memejam matanya. Aduh! Pening! Pening! Habislah aku. Fiqri senyum panjang. Kedatangan ayah Qisha Aleesha ke arah mereka bagaikan membawa seribu rahmat buatnya.

“Kenapa dengan muka kamu tu, Qisha?” terjah Salim terus sebaik sahaja matanya terperasankan akan luka dan lebam yang terpalit pada wajah cantik anak daranya itu. Muka Qisha Aleesha dibelek. Jelas riak kerisauan terpancar di wajahnya.

“Tak ada apa-apalah, ayah. Qisha kena pukul sikit.” Jawab Qisha Aleesha tenang dan jujur. Tetapi, ayahnya tidak pula tenang. Menggeletar lututnya mendengar jawapan Qisha Aleesha yang selamba itu. Terasa jantungnya mahu berhenti pun ada. Kena pukul? Ya, Allah! Anaknya gangster ke apa? Kena pukul? Macam biasa aje kena?

“Kena pukul? Pukul dengan siapa?” Qisha Aleesha diam.

“Kena pukul dengan siapa?” Salim mengalihkan soalanya pada Fiqri pula. Fiqri serba salah. Tidak tahu mahu menjawab apa. Nanti kalau dia tersalah jawab, bagaimana? Mahu merana dirinya nanti gara-gara Qisha Aleesha marahkan dirinya. Oh! Dia tidak mahu itu semua berlaku nanti.

“Ayah tanya ni, sayang. Kena pukul dengan siapa?” soal Salim lagi. Qisha Aleesha tersenyum. Pipi ayahnya digosok lembut.

“Biarlah rahsia..” Qisha Aleesha menanyikan melodi Siti Nurhaliza. Dirinya gelak. Suka pabila dapat mengenakan ayahnya. Salim tarik muka. Tidak suka dengan perangai anaknya ini. Aduh! Kena pukul? Ganas betullah anaknya yang sorang ini. Tapi, tak apa! Nanti dia akan tahu juga. Tahulah dia mahu korek dari mana, nanti.

“Ni kawan kamu.. Tak nak ajak masuk?” soal Salim pula sambil dirinya mula melangkah kembali ke arah pondok di rumah mereka.



“Tengok, ayah awak dah jatuh sukakan saya. Awak bila lagi?” soal Fiqri. Berbisik dekat dengan telinga Qisha Aleesha.

“Eee, budak ni! Tanya orang suka dia ke tak, macam promote iklan! Dahlah. Pergilah masuk. Masuk aje. Tak ada orang nak jemput.” Jawab Qisha Aleesha geram.

“Qisha..” tegur Salim. Qisha Aleesha masih buat selamba.

“Pergi hidangkan air. Biskut ke, keropok ke. Semuanya dah ada.” Sambung Salim lagi. Bibir Qisha Aleesha memuncung panjang. Fiqri senyum sahaja. Sudah boleh agak itu Qisha Aleesha. Salim didekatinya. Kucupan salam pertama berlaku di situ. Salim senyum. Tak sangka diam-diam berisi anaknya. Ingatkan dah tak ada selera pada lelaki, tapi kini.. Jantungnya mahu tercabut. Melihat lelaki yang sungguh sempurna di hadapannya ini, membuahkan rasa senang di dadanya.

“Siapa nak buat air? Qisha, tak nak. Kalau dia nak jugak air suruhlah dia ambik sendiri sebelum naik atas. Dekat dapur semuanya ada.” Qisha Aleesha sudah membebel entah apa kebendanya. Salim menjeling tajam dengan anaknya. Pandangan yang menggerunkan. Opps, Qisha! Ayah kau dah marah!

“Qisha..” Qisha Aleesha senyum panjang. Usai salamnya bersambut tadi, kucupan di pipi ayahnya didaratkan di situ. Salim masih bereaksi beku.

“Kenapa dengan muka ni, ayah?” Salim masih mengekalkan dengan riak wajahnya. Wajah tidak puas hati.

“Okey! Okey! Qisha gurau ajelah. Jomlah bawak tetamu ‘special’ ayah ni masuk,” Salim senyum. Lengannya ditarik Qisha Aleesha. Fiqri juga turut tersenyum dengan keletah itu. Qisha Aleesha tampak… manja! Sesuatu yang sungguh dia tidak jangkakan. Entah kenapa jiwanya terasa indah. Dia tidak sangka, gadis yang disangkakannya seorang yang garang tak bertempat rupa-rupanya mempunyai keperibadian yang sungguh indah di dalamnya.

“Muka tak malu! Nasib baik ayah ada. Kalau tak, jangan harap saya nak pelawa awak masuk!” jeling Qisha Aleesha pada Fiqri saat mereka bertentang mata.

“Qisha..” Qisha Aleesha gelak bila Salim menegur. Kepalanya turun perlahan-lahan ke atas bahu ayahnya. Lengan Salim ditarik masuk ke dalam rumah. Salim hanya menurut. Sudah masak dengan perangai manja anaknya ini. Memang kebudak-budakkan tetapi dia suka. Fiqri juga tergelak sama. Matanya menyoroti langkah pemergian gadis itu dengan ayahnya. Ah! Alangkah indahnya jika dia yang menjadi tangan yang dipegang Qisha Aleesha itu.

“Tak nak masuk ke? Nak berdiri terus-terusan kat situ? Atau nak jadi model untuk rumah saya? Bila orang lalu, cakaplah ini rumah Salim. Bolehlah masuk. Silakan.” Fiqri angkat pandangannya pada Qisha Aleesha yang keluar dari rumahnya kembali. Dirinya gelak kecil. Mata merenung Qisha Aleesha atas bawah. Haih. Cantik betullah perempuan ni. Lagi cantik setelah dia melihat akan adegan yang terhidang di hadapan matanya sebentar tadi.

“Boleh, sayang. Boleh. Apa-apa saja..” Fiqri menanggalkan kasutnya. Setapak demi setapak langkahnya mendekati ke arah Qisha Aleesha. Bilanya mereka berselisih Fiqri merapatkan dirinya ke arah Qisha Aleesha. Qisha Aleesha naik gugup pula.

“Qishaku..” sambung Fiqri lagi. Membuntang mata Qisha Aleesha.

“Dari mana awak tahu nama saya?”

“Dari ayah mertua.”

“What?!!” Qisha Aleesha tepuk dahi. Alamak! Dia lupa! Ayahnya dah bocorkan rahsia namanya. Alah, ayah ni! Aduh! Bala betul sebab bawak lelaki ni ke sini, tadi. Fiqri berhenti setelah dirinya melangkah separuh jalan.

“Dah-dahlah tu.. No.. No.. No.. Jangan tarik muka masam macam tu. I don’t like. Saya tak suka. Jom, tunjukkan saya jalannya ke mana ruang tamu.”

“Jalan ke ruang tamu tak ada, tapi jalan ke neraka Qisha Aleesha ada!” Fiqri gelak. Qisha Aleesha geram. Tak henti-henti gelaknya! Bikin panas hati lagi.

“Kalau macam tu, jalan ke hati Qisha Aleesha ada tak?” Qisha Aleesha mencebik. Tak habis-habis dengan ayat lelakinya. Huh. Bosan!

“Ada! Tapi kena lalui dulu jalan ke neraka saya! Tak ada jalan pintas, sebab jalan pintas itu hanya untuk orang yang terpilih.” Fiqri diam. Orang yang terpilih ya? Okey! Kalau itu jalannya, dia akan pastikan bahawa dia pun turut tergolong sama dalam orang yang terpilih itu. Ya! Dia akan pastikannya.




CERMIN biliknya ditenung dalam-dalam. Sakit! Terangkat-angkat jarinya tatkala kain suam itu mengenai kulit pipinya. Pedihnya. Sumpah dia rasa bagaikan mahu jerit kuat-kuat. Huh. Tak guna punya peragut. Kalau aku jumpa kau memang aku akan pastikan kau mati. Geram aku!

“Akak! Akak! Akak!” Qisha Aleesha menghela nafas kecil. Hujung matanya menjeling sahaja tingkah adiknya yang datang menerjah ke dalam biliknya.

“Ada apa, adik? Macam kanak-kanak ribena! Sedarlah diri tu sikit. Umur dah nak jadi mak orang tapi perangai.. aduhai.” Bebel Qisha Aleesha. Suliati mencebik.

“Apa akak mengarut ni? Mana ada umur macam mak orang. Adik muda lagilah.” Sangkal Suliati bersungguh-sungguh.

“Dah nak masuk umur lapan belas kan? Apa salah ke apa yang akak cakap? Orang dulu-dulu, umur empat belas, lima belas tahun dah kahwin, tahu. So, apa yang nak dikisahkan sangat? Kira adik dah lepaslah nak jadi mak orang. Tapi.. tengok perangainya..”

“Sedaplah akak cakap. Dah tu akak? Akak bukannya lebih dari cukup, umurnya?” Qisha Aleesha diam. Ni memang kes menyindir ni. Aduhai. Balik-balik aku jugak yang kena. Mentang-mentanglah, aku tak punya kekasih. Huh. Adiknya memang nak kena disekolahkan ni.

“Akak lain. Akak special case. Lainlah adik.” Suliati menggeleng. Whatever! Dia malas mahu memanjangkan berita. Ada sesuatu yang lebih dari hangat dari apa yang mereka ceritakan ketika ini. Lantas, Suliati melabuhkan duduknya di atas katil sambil matanya tidak lepas memandang akan Qisha Aleesha.

“Apa pandang-pandang ni?” Tidak sedap hati dengan pandangan adiknya.

“Akak, siapa yang datang tadi?” Suliati memulakan siasatan. Kes pertama!

“Siapa-siapa?” Suliati mengeluh. Akaknya ni lurus betullah! Ya ke? Akaknya lurus atau sengaja dia bereaksi lurus?

“Alah, akak ni. Lelaki yang datang rumah kita petang tadilah.” Qisha Aleesha membulatkan matanya. Dari mana adiknya dapat tahu? Adiknya sekolahkan waktu tu? Nak kata ayahnya yang mulut murai, mustahil. Kerana, dirinya awal-awal lagi suruh ayahnya diam sahaja akan kes tadi. Macam mana berita ni boleh tersebar pulak? Oh my.. Dia lupa ini kampung! Berita panas yang cepat sampai dari berita utama! Aduhai.

“Dia kekasih akak, kan?”

“Hisyhh.. Mengarut betullah. Mana ada!” sangkal Qisha Aleesha laju.

“Lah.. Apa salahnya, akak. Adik dengar semua orang duk puji-puji kekasih akak tu. Kata handsomelah, tinggi, putih, kaya lagi. Akak kahwin dengan dialah! Adik suka! Cukup pakej tu!” Qisha Aleesha menggeleng sambil senyum. Entah apa-apalah. Tapi, dia ada mendengar sesuatu. Semua orang? Aneh perkataan itu. Memang sah dia betul. Kerja orang kampunglah ni!

“Oh, adikku. Adik tahu tak siapa yang datang?” kening Suliati terangkat sebelah.

“Lelaki yang kita jumpa masa majlis kekasih adik dulu tu.. Aniq.” Suliati cuba mengingati akan kisah itu kembali.

“Hey! Tak guna! Rupanya kaulah Aniq, ya! Ada hati nak berkenalan jauh dengan adik aku? Langkah mayat aku dulu! Elok sangat aku jumpa kau kat sini! Boleh aku tanam terus mayat kau kat sini! Sini kau! Aku kata sini!!”tempik Qisha Aleesha kuat. Mengalahkan orang gila! Orang sekeliling mereka panik. Panik dengan keadaan itu. Qisha Aleesha tidak pedulikan tanggapan orang sekeliling. Apa nak jadi, jadilah! Dia tak peduli. Janji dia dapat budak tak guna ni! Ah! Ada rasa untungnya dia dijemput datang ke sini! Dapatlah dia jadi malaikat maut budak ni, hari ni!

“Sorry. Maafkan saya. Maafkan saya.” Tidak henti-henti Aniq memohon maaf. Suliati bimbang. Majlis semakin kecoh. Tapi itu masih dikira nasib baik kerana keluarga Aniq tiada di luar. Yang ada hanyalah teman-teman sekolahnya. Namun itu sudah dikira malu! Malu kerana kakaknya bereaksi begini! Lantas, cepat-cepat Suliati ingin redakan keadaan. Aniq yang berlari kebetulan bertembung dengan Fiqri. Lantas, jaket Fiqri ditarik dan terus dia bersembunyi di sebalik tubuh tinggi lampai lelaki itu.

“Woo.. Woo.. Kenapa ni?” soal Fiqri tidak mengerti.

“Tepi.”arah Qisha Aleesha tegas.

“Huh?” Fiqri tidak mengerti.

“Aku kata tepi.” Ulang Qisha Aleesha.

“Huh? Awak nak apa? Nak saya? Ambiklah.” Fiqri berjenaka. Tidak terusik langsung dengan keletah Qisha Aleesha yang semakin berapi itu. Malah sempat dia bertindak nakal dengan perempuan cantik ini. Aniq mengigit bibirnya.

“Abang! Jangan buat macam tu. Nanti dia marah. Dia macam singa!” membulat mata Qisha Aleesha. Dia kata aku singa?!

Qisha Aleesha ingin segera mengejar Aniq. Rasa mahu ditolak jauh-jauh badan Fiqri. Tetapi, belumsempat dia berkelakuan sedemikian, Suliati terlebih dahulu memeluk dirinya kemas. “Akak! Sudahlah. Jangan buat adik, malu.” Qisha Aleesha tersedar sesuatu.

Ya! Dia hampir lupa. Dia datang ke sini, kerana adiknya. Maka dia perlu menjaga air muka adiknya. Nafas panjang ditarik.

“Heii! Heii..” lambaian tangan Qisha Aleesha pada Suliati menyedarkan gadis itu dari mimpinya yang panjang. Oh. Dia baru ingat kini. Lelaki itu..

“Oh.. Okey, apa lelaki tu. Kacak habis tu, akak.” Qisha Aleesha mencebik.

“Kacak? Adalah sikit. Tapi, ada lagi yang lebih kacak dari dia..” komen Qisha Aleesha tanpa sedar.

“Ya? Betul? Siapa?” Suliati semakin seronok. Siapa? Siapa? Dia jelas ingin tahu. Lagak kakaknya bagaikan lelaki yang diberitahunya lebih kacak itu tadi bagaikan punya ciri-ciri tersendiri dalam hati kakaknya. Menarik! Semakin dirinya ingin mengetahui siapakah lelaki itu. Qisha Aleesha pula bagaikan tercekik sesuatu. Apa aku cakap tadi?

Nak mampus? Aduh! Apa pasal mulut murah sangat hari ni? Ada sale ke? Dalam keadaan dirinya yang berserabut, tiba-tiba telefon Qisha Aleesha berdering. Getaran yang hebat bergema. Sempat Qisha Aleesha menarik nafas lega. Nasib baik. Kau penyelamatku wahai telefon intan nyawa.

Dek mahu mengelak dari menjawab pertanyaan adiknya, Qisha Aleesha berura-ura mahu menjawab akan panggilan itu. Namun, melihat akan nombor yang tidak diketahuinya dia jadi ragu-ragu pula. Siapa? Malam-malam begini lagi? Nak kata panggilan ini perihal kerja yang dipohonnya, mustahil. Mana mungkin ada yang berkerja, malam-malam begini.

Tetapi, entah kenapa, tangannya ringan sahaja mengangkat akan panggilan itu.

“Assalamualaikum..” Qisha Aleesha memulakan bicara terlebih dahulu. Telinganya tekun mendengar sesuatu sebelum bibirnya mengukirkan senyuman lebar. Senyuman bahagia.




PAGI-PAGI lagi Qisha Aleesha sudah terpacak kemas di hadapan syarikat SFX HOLDINGS. Kepalanya mendongak memandang akan bangunan pencakar langit itu. Sayup-sayup tingginya. Begitu megah berdiri. Lambat-lambat, kakinya melangkah. Tanpa bertanya terlebih dahulu di kaunter pertanyaan, dirinya terus mendapatkan lif.

            Tidak sampai lima minit, lif tersebut sampai di mana dirinya berdiri kini. Tanpa ada rasa kekok, Qisha Aleesha terus mendapatkan Suzy. Suzy yang melihat kedatangan Qisha Aleesha, berdiri sambil tersenyum manis sebagai hormat. Qisha Aleesha membalasnya mesra.

“Jumpa encik Fahim Daniel, betul?” Qisha Aleesha mengangguk.

“Masuklah. Dia ada dalam biliknya.” Qisha Aleesha segera pamit. Tidak mahu berlengah lagi. Tidak sabar mahu mendengar apakah berita baik yang ingin disampaikan lelaki itu padanya. Tidak lena tidurnya semalam gara-gara memikirkan akan berita baik itu. Di kala itu, terasa jarak masa begitu lambat berlalu.

Pintu bilik Fahim Daniel ditolak. Terpacul wajah kacak yang sedang sibuk menaip sesuatu di Macbooknya. Qisha Aleesha tarik nafas. Relaks, darling. Jangan gugup. Jangan berdebar. Dia orang bukannya alien! Tenang, sayangku.

Fahim Daniel angkat muka. Wajahnya tegang tanpa senyuman. Qisha Aleesha rasa semacam. Rasa aneh pula apabila tidak melihat senyuman lelaki itu terlebih dahulu. Kebiasaannya jika lelaki itu bertembung dengannya tidak sah jika dirinya tidak dijamu dengan sebuah senyuman dari lelaki itu.

“Assalamualaikum,” kepala Qisha Aleesha tunduk sedikit sebagai tanda hormat kepada lelaki yang berdiri di hadapannya kini. Fahim Daniel masih diam. Tiada sepatah kata keluar dari bibirnya. Dia berdiri. Gulp! Qisha Aleesha sudah gementar. Entah kenapa, dia bencikan keadaan ini. Kenapa dia rasa macam ni, dan kenapa lelaki ini berikan dia akan rasa seperti ini?

Kot yang tersarung di tubuhnya dikancing Fahim Daniel satu persatu. Jelas kot itu begitu fit di tubuhnya. Lelaki yang berdiri di hadapannya ini tampil dengan pakaian yang sungguh seksi! Ah, tidak! Kenapa dia perlu rasa begini? Kenapa perlu ada bayangan negatif ni? Dia tidak sukakannya!

“Encik nak cakap apa dengan saya? Boleh cakap sekarang..” Fahim Daniel senyum. Sinis! Ah! Semakin Qisha Aleesha pelik dengannya.

“Wah.. Berlagak macam awak pula yang sibuk. Kenapa? Dah dapat kerja?” Qisha Aleesha menggeleng laju. Fahim Daniel kembali serius. Kecut perut Qisha Aleesha. Fahim Daniel pandang Qisha Aleesha. Tidak berkelip. Qisha Aleesha tidak senang dengannya, segera kepalanya dialihkan segera dari memandang seraut wajah tampan itu. Fahim Daniel menghembuskan nafasnya. Kedengaran agak berat.

Ah! Dia bencikan berperasaan begini. Terus, tanpa ragu-ragu. Tubuh Qisha Aleesha dirapati. Terkejut Qisha Aleesha dengan tindakan drastik itu. Dia berundur ke belakang sebelum dirinya jadi tidak seimbang apabila berlanggar dengan penghadang sofa. Tubuhnya ingin jatuh tetapi disambut segera Fahim Daniel. Wajah mereka dekat. Qisha Aleesha berdebar. Jantungnya ingin meletup! Dapat dirasainya akan hembusan nafas hangat di wajahnya.

You’re so beautiful, sweety.” Qisha Aleesha hilang punca. Kenapa dengan lelaki ini? Qisha Aleesha jadi tidak senang. Dada Fahim Daniel ditolak agar menjauhinya. Fahim Daniel berdehem kecil sementara Qisha Aleesha sibuk membetulkan baju kurung modennya.

“Duduk.” Pelawa Fahim Daniel. Sofa solo dirampas Qisha Aleesha. Tidak mahu dia ambil sofa panjang itu, kerana dia tahu Fahim Daniel ini unpredictable!

“Apa yang encik nak beritahu saya? Baik percepatkan. Saya tahu, encik sibuk. Saya pun tak mahu ganggu encik.” Fahim Daniel memandang Qisha Aleesha. Masih dengan wajah seriusnya. Wajah seriusnya yang mengandungi seribu satu rahsia akan kekacakkannya yang tidak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata. Aduhai! Kau memang gila, Qisha Aleesha!

Fahim Daniel peluk tubuh. Hujung matanya sempat menjeling keletah Qisha Aleesha yang sengaja merampas sofa solo itu. Huh. Macam tahu-tahu aje, perempuan ni. Urgh! Bijak betullah. Tapi, tak apa. Ini Fahim Daniel. Don’t mess with me, darling! Fahim Daniel senyum panjang tetapi disembunyikannya dari Qisha Aleesha. Lantas, tanpa mempedulikan perasaan Qisha Aleesha, segera Fahim Daniel mengambil tempat duduknya.

Qisha Aleesha membulatkan matanya. Apa ni?

“Kenapa.. Kenapa awak.. eh.. Kenapa encik duduk sini?” rasa marah ingin ditahankan Qisha Aleesha. Tetapi, rasa macam sukar apatah lagi ditambah pula dengan perasaan gabra semacamnya ini. Macam mana dia tak gabra, kalau lelaki ni duduk tak sampai sejengkal dengannya. Selamba dia saja duduk atas meja kopi dengan lutut mereka saling berlaga? Gila! Memang kerja gila! Arghh! Dia tak boleh terima!

Fahim Daniel serius. Tiada riak. Riak nakal ke, atau riak senyuman gatal ke, semuanya tiada. Yang ada wajahnya yang serius.

“Awak pergi mana semalam?” Qisha Aleesha kerut dahi. What? Ini hal penting? Ini berita gembira? Apa ni? Dia pergi mana semalam? Huh? Mengarut! Perlu ke dia jawab soalan tak bermutu ni? Urgh!

“Apa encik nak cakapkan dengan saya?”

“Awak dengan lelaki mana semalam?”

“Apa encik nak cakapkan dengan saya?” Qisha Aleesha tahan sabar. Soalan dijawab dengan soalan. Hurm. Hebat! Memang menguji kesabarannya.

“Siapa lelaki tu?”

“Arghh! Apa encik nak cakapkan dengan saya ni? Cepatlah. Saya dah tak boleh tahan ni.” Qisha Aleesha rasa ingin berdiri. Tidak selesa serta dia ingin mengelak dari jantungnya berdetak dengan detakan yang gila! Tetapi, jika dia berbuat begitu, nanti apa pula tanggapan Fahim Daniel? Pasti dia ingin aku tangkap cintan dengan dia, sebab tak boleh tahan lama-lama duduk berdu-duaan dengan dia. Tak apa, Qisha! Bertahan seminit dua dulu. Kalau tak boleh jugak, lari aje terus.

“Awak ada hubungan ke dengan lelaki tu?” suara Fahim Daniel kedengaran bagaikan mahu marah tetapi tidak tinggi dan tidak keterlaluan. Cuma suaranya seperti suara lelaki yang sedang hangat cemburu.

“Argh! Geramnya! Kenapa awak asyik mengelak aje dari jawab soalan saya?” akhirnya. Akhirnya! Qisha Aleesha berjaya juga melenyapkan akan gelaran encik di hadapan pangkalan nama Fahim Daniel. Kes geram punya pasal, habis segala tutur ayunya. Huh. Biarlah. Geram dengan lelaki ini. Banyak sangat belok-belok soalannya. Macamlah aku masuk pertandingan Impian Roda. Huh!

“Awak jugak. Asyik mengelak juga dari jawab soalan saya.”

“Tak ada sebarang faedahnya jika saya menjawab. Bukan soalan berkaitan hal yang saya pohon. Semuanya hal peribadi.” Jawab Qisha Aleesha selamba. Geram lagi.

“Disebabkan peristiwa itu, saya tak boleh tidur malam. Sebab tu mata saya dah lebam, macam panda.” Fahim Daniel menambah kata-katanya membuatkan Qisha Aleesha pening. Apa dia cakap ni?

“Apa?” Qisha Aleesha geram. Argh! Kenapa perangai lelaki ini persis benar dengan Fiqri? Gaya mereka seolah-olah sama. Kedua-duanya nakal tahap petala langit!

Tokk!! Tokk!

Ketukan berkali-kali berlangsung. Serentak kedua-dua berpaling ke arah yang sama. Qisha Aleesha memandang Fahim Daniel. Kenapa mamat ni tak bagi respon? Dan kenapa lembap sangat orang kat luar sana? Masuk ajelah! Tahu tak aku kat dalam rasa lemas yang amat ni?! Qisha Aleesha semakin tidak waras. Lupa agaknya bahawa setiap syarikat ada peraturannya tersendiri apatah lagi bila menghadapi orang yang agak besar jawatannya seperti Fahim Daniel ini.

“Biar saya yang bukakan pintu!” tegas Qisha Aleesha. Dia nekad. Rasa tidak selesa itu begitu memaksanya untuk membukakan pintu tersebut. Tidak tertahan rasanya. Kenapa agaknya lelaki itu berperangai begini, ya? Langsung tidak professional dan tidak matang!  Fahim Daniel segera bangun. Langkah Qisha Aleesha dihalang dan disekat. Tinggi tangannya diletakkan di dinding, menyekat laluan Qisha Aleesha. Qisha Aleesha membulatkan mata. Kenapa ni?

“Tepilah, encik. Biar saya yang bukakan pintu.”

“Dulu, saya tanya nak jadi tea lady untuk saya, awak tak nak. Sekarang, awak nak jadi mak guard.. eh bukan sweety guard untuk saya pulak ke?” Qisha Aleesha diam. Tahu Fahim Daniel sedang menyindirnya. Ketukan di pintu itu berakhir. Fahim Daniel angkat sebelah keningnya seraya memandang akan Qisha Aleesha.

See? Dah, senyap.” Qisha Aleesha memanjangkan lehernya. Memandang ke arah pintu itu. Ya. Dah senyap.

“Hurmm. Faham. Sekarang boleh jauhkan diri dari saya sikit tak?” Fahim Daniel berundur ke belakang sedikit namun malangnya wajahnya pula yang didekatkan dengan wajah Qisha Aleesha. Qisha Aleesha mengundurkan wajahnya. Mahu ditumbuk pun ada, wajah Fahim Daniel ni!

“Saya suruh ke belakang, bukannya ke depan.”

“Awak tak cakap yang kaki ke atau wajah saya ke belakang. Jadi, saya ambik salah satu. Kalau salah satu ke belakang, maka salah satu lagi perlulah ke depan. Takkan nak mundur semuanya. Rugilah! Macam dalam bisnes jugak! Takkan kita nak lepaskan semuanya, kan?” Qisha Aleesha mengeluh kecil Oh, geramnya aku. Ada aje modal yang dijawabnya. Kalau macam ni lagaknya, kenapa tak jadi lawyer aje? Menyusahkan ajelah!

“Kalau macam tu, boleh tak kesemua tubuh badan awak ni, ke belakang? Saya rimas.” Bidas Qisha Aleesha jujur. Fahim Daniel menayangkan wajah selambanya.

Opps, sorry sweety! Peluang hanya datang sekali.” Argh! Mahu menjerit, meraung! Semuanya ada!

“Sekarang.. jawab soalan saya.” Qisha Aleesha meneguk liurnya. Soalan apa pulak ni?

"Siapa lelaki semalam?" Qisha Aleesha mengerutkan dahinya..

"Kenapa tiba-tiba pulak ni? Haa.. Lepas tu, siapa yang encik maksudkan ni, sebenarnya? Cuba bagi terang-terang sikit. Biar jelas.” Tanya Qisha Aleesha jujur.

"Lelaki semalam yang awak main-main kejar tu?" Lelaki mana? Semalam ada dua. Satu hero yang menyelamatkannya dan yang satu lagi yang menjadi penyagak.. Siapa yang Fahim Daniel maksudkan? Tapi.. tunggu! Dari mana dia tahu ni?!

"Awak tahu dari mana ni? Awak stalk saya, eh?" tuduh Qisha Aleesha selamba.

"Gadis cantik macam ni? Huh.. Jangan harap saya tak pandang. Remember my sweety, once I see you, then the other days my eyes still can't stop from looking you.. And can you please.. do not run away from me again my sweety?! Because...I'm sick of it. I'm dying."

"Saya tak faham. Saya tak pandai cakap bahasa inggeris" Qisha Aleesha berpura-pura. Nak cover rasa malu plus nak cover mukanya.. Entah kenapa.. Tapi rasa. Kebas!

"Hey, you bitch!"

"Hey. Mulut tu jaga sikit, eh! Aku lastik karang." Qisha Aleesha sudah berang.

"Tu awak faham. Sekarang tang mana awak tak faham apa yang saya cakap awal-awal tadi? Huh? Ke nak saya ulang? Seribu kali pun saya sanggup ulang. Sekarang saya ada tiga soalan nak tanya awak. Jawab jujur, ya.. Please? Pertama, siapa lelaki tu? Kedua, apa hubungan awak dengan dia? Ketiga..” Fahim Daniel berjeda dengan menarik nafas seketika sebelum menyambung kembali kata-katanya. “Apa yang dah jadi dengan muka awak? Nampak lebam.. Apa dah jadi semalam? Huh?"

Qisha Aleesha kelu seribu bahasa. Soalan Fahim Daniel itu sungguh dia tidak jangkakan sama sekali. Entah kenapa soalan itu begitu indah dan nyaring di telinganya. Benarkah? Benarkah lelaki ini menyoalnya soalan sedemikian?

“Kenapa diam?” Qisha Aleesha diam juga. Sumpah! Dia tak tahu mahu menjawab apa? Dan dia sebenarnya, pelik.. Kenapa lelaki itu kelihatan begitu prihatin terhadapnya? Hurm.. Sungguh memusykilkan!

Qisha Aleesha berdehem. Tidak! Dia perlu sedar di mana dia berada. Tidak perlu rasanya untuk dirinya mengetengahkan akan hati dan perasaannya tika ini.

“Saya rasa tak perlu kut, buat encik ambil tahu dengan siapa, dan apa yang berlaku dalam hidup saya. Saya rasa kita dah terlalu jauh ni, encik Fahim Daniel.” Sengaja Qisha Aleesha meletakkan encik dan nama penuh lelaki itu. Mahu dia dan lelaki itu sedar di mana mereka ketika ini.

“Sebenarnya, apa yang encik nak khabarkan pada saya?” Qisha Aleesha inginkan jawapan. Kalau lelaki itu menjawab, hanya ini sahajalah tujuannya memang dia akan lepuk kepala budak ni. Huh. Buat penat-penat dia datang ke mari, dan ini yang dia dapat? Fahim Daniel jungkit bahu.

“Entah. Ini ajelah.” Dum!! Ambik kau, Qisha! Dia dah jawab sama macam dalam kepala otak kau. Huh? Apa lagi, lepuklah kepala dia? Qisha Aleesha terasa panas. Mahu mendidih segala urat sendinya. Memang lelaki ni main-main. Main-main dengannya!

“Oh.. Ini? Ini yang awak nak, cakap? Awak nak cakap tentang ni?” Fahim Daniel pelik. Berkelip-kelip matanya memandang Qisha Aleesha. Qisha Aleesha makin baran.

“Kau panggil aku, sebab ni? Kau panggil aku, sebab kau nak tanyakan aku tentang ni? Kau dah gila, ke?!” Ah, sudah! Nampaknya, Qisha Aleesha semakin tidak terkawal. Emosinya mungkin tidak stabil. Mungkinkah dia akan mengejar lelaki itu keliling syarikat ini sama macam yang dia lakukan pada Aniq pada tempoh hari?

“Yelah. Habis tu, nak saya cakap apa lagi?” dada Qisha Aleesha turun naik. Kesabarannya jelas makin menipis. Argh!!

“Sabar, Qisha.. Sabar.. Kau kena bersabar.” Qisha Aleesha cuba menenangkan dirinya sendiri. Ada benar juga kata ayahnya, dia perlu belajar cara mengawal emosinya. Apa lagi dirinya ini sebagai perempuan. Memang tak patut berkelakuan seperti itu.

“Kenapa? Awak nak tanyakan saya tentang kerja yang awak suruh saya carikan tu, ke?” rasa baran hilang terus dengan perkataan magis kerja itu. Menyinar mata Qisha Aleesha. Huh? Betul ke ni? Telinganya tidak salah dengarkan? Lelaki tu cakap tentang kerja tadi, kan?

“Awak cakap apa? Kerja?”

Angguk.

“Mana? Awak dah dapatkan kerja untuk saya ke? Kerja apa? Kerja apa? Bila? Dekat mana?” suara Qisha Aleesha sudah separuh teriak. Riangnya usah dikata. Mahu melompat ke langit pun ada!

“Awak nak kerja jadi, isteri saya?”

Oh..my..

Qisha Aleesha mengetap giginya. Lelaki ni main-main lagi? Oh.. geramnya aku. Rasa nak cincang-cincang aje, mamat ni lepas tu buat gulai! Memang nak kena ni.

“Soalan bodoh mana awak tanya saya ni? Awak ingat saya main uji bakat akademi fantasia? Atau awak ingat saya pergi uji bakat berlakon? Oh.. Geram aku.. Sabarlah, hati! Sabar! Memang nak kenalah!” Fahim Daniel terkedu mendengarnya. Spontan gila! Dan yang paling penting sifat dan sikap wanita tampak neutral. Memang ini sifat dia ke?

“Awak tahu tak, encik Fahim Daniel? Saya datang sini, penat-penat dan ini yang awak nak tanyakan pada saya? Awak nak tanya saya ni? Benda yang bodoh ni? Awak ingat saya apa? Awak ingat saya ni patung ke? Awak ingat saya tak ada perasaan ke? Awak tahu tak betapa mahalnya tambang untuk saya datang sini? Awak ingat saya benda mainan ke? Sedap ke mainkan perasaan orang?” mata Qisha Aleesha berair. Mengenangkan kesungguhannya datang ke sini pagi-pagi buta dek jarak antara rumahnya dengan pejabat ini agak jauh sehingga memaksanya untuk menyiapkan diri sebelum subuh bagai. Memang itu membuatkan dirinya sangat terasa. Terasa seperti dipermainkan. Bayangkan dengan hati yang girang bangun pagi dengan perasaan yang tidak terkata, membayangkan kita mungkin akan dapat kerja. And last-last ini yang menjadi topiknya?

Fahim Daniel seperti ingin berkata sesuatu. Mulutnya ingin berkata-kata setelah melihat Qisha Aleesha yang menyeka air matanya. Baru mulut itu ingin dibuka kelima-lima jari Qisha Aleesha tegak berdiri memberikan tanda agar lelaki itu berhenti.

“Sudah. Tak perlu nak minta maaf. Saya pergi dulu.” Tanpa ucapan selamat tinggal yang formal, Fahim Daniel ditinggalkan begitu sahaja.  

Sementara itu, Fahim Daniel di dalam sana, gelak kecil.

“Bila masa aku nak mintak maaf? Huh. Perasan!” kepalanya menggeleng. Entah apa-apa budak ni. Qisha Aleesha berjalan lurus ke depan dengan kepalanya menunduk. Tidak mahu memandang tegak, takut orang lain bisa nampak akan apa yang mengalir dari matanya.

Semua pekerja saling berpandangan sesama sendiri. Tidak lari dari memandang pemergiaan Qisha Aleesha. Pelik yang pastinya apabila ada air mata mengalir dari mata cantik itu. Apa yang terjadi? Terus, mata mereka berkalih pada Suzy. Suzy angkat bahunya. Tak tahu! Lehernya ingin meninjau sekali lagi keberadaan Qisha Aleesha. Namun, perbuatannya terbantut apabila ada sesuatu yang menikam pendengarannya.

Dumm!!

“Ehem.. Ehem..” Suzy berdiri tegak. Terkejut apabila ada sebuah beg tangan Gucci berwarna krim berlabuh di atas mejanya. Bila kepalanya naik, lagi terkejut dirinya setelah mendapati empunya beg tersebut adalah mama Fahim Daniel. Datin Melati!

“Siapa perempuan tu?” serius soalannya. Langsung tidak mesra.

“Huh? Oh.. Itu.. Itu..” Suzy tergagap bicaranya. Tidak tahu mahu melabel Qisha Aleesha sebagai apa? Hakikatnya dirinya juga buntu kenapa bossnya memanggil gadis itu ke sini. Nak kata perihal kerja tiada di dalam senarainya. Tambahan pula, dia memang tak kenal siapa gadis itu. Pertama kali sebenarnya dia berjumpa dengan gadis itu.


“Kenapa?” Datin Melati pandang belakang. Atau lebih tepat ke arah pintu bilik Fahim Daniel. Keningnya diangkat pada Suzy. Suzy tersengih seraya mengangguk kecil. Datin Melati mengangguk sahaja sambil hujung matanya menjeling dan menghantar akan pemergiaan Qisha Aleesha.


NOTA KAKI: INI MUNGKIN AKAN MENJADI POST TERAKHIR UNTUK SAC. SORRY SEBAB AI ADA KERJA YANG PERLU DISETTLEKAN DAN MSS UNTUK DISIAPKAN JUST 4 DA INFORMATION. SO, MNGKN EP 8 AKAN DIUPDATE LAMBAT LAGI, SORRY.. HARAPAN SAYA LEPAS BAB 7 NI BERAKHIR MAKA BERTAMBAH LAH PEMINAT FD OR FIQRI YER.. ATAUPUN YANG PALING PENTING BERTAMBAHLAH READER SAYA. HUHU..

1 comment:

  1. semakin menarik dan jarang sekali di ketengahkan kisah gadis kasar mcm Qisha yg masih menghormatkan org tua. Qisha yg brutal tp memiliki kecantikan yg luarbiasa. Tidak sepadan perilakunya dgn wajah jelitanya.... Garapan yg kemas....best...

    ReplyDelete

Assalamualaikum.
Anda dah baca smuanya? Sila-silalah komen, ya.
Beri pendapat mahupun penambahbaikkan.
Terima kasih.
Kerjasama anda, amat saya hargai.

Copyright© All Rights Reserved silencernovel.blogspot.com