Pengikut Setia.. XD

Thursday, 12 February 2015

Terbaik Bagimu Bab 12




BALIK rumah, tubuh Tisya tak bergerak. Figura dua tubuh itu begitu mengejutkannya. Tergamam dirinya. Rumah itu kini padat dengan suasana ceria yang menghiasi hari mereka. Terpancar riak keceriaan pada satu persatu wajah adik-adiknya.

            “Along..” lemah suara Tisya memanggil. Namun seruan itu sudah cukup memaksa kepala Erma untuk turut berpaling sama. Kemas pandangannya dilemparkan ke luar sana. Bila pandangan mereka bertaut, cebisan senyuman menjadi penghias bibir.

            Tisya masih tak percaya. Along berada di rumah? Along balik?!!

“Angah dah balik!!” suara Fahmi kedengaran dari dalam rumah sambil berlari mendapatkan Tisya.

“Angah, along balik.” Adu Fahmi ceria. Tisya cuma mengangguk. Dia masih dalam keadaan separa terkejut dengan kedatangan Erma yang tidak dijangkakannya.

“Apa ni?” plastik merah dirampas Fahmi dari Erma. Dibelek isi kandungan di dalam plastik tersebut.

“Wah! Apam balik!!” teriak lagi budak kecil itu.

“Bawak masuk dalam.” Arah Tisya. Fahmi mengangguk bersetuju. Muka dimaniskan bila tubuhnya melepasi Erma. Perlahan-lahan, langkah Erma dituju ke arah Tisya.

“Angah sihat?” soalan yang tak pernah lekang dari bibir along bila mereka berjumpa. Tidak kiralah berjumpa sekadar di panggilan telefon ataupun secara depan begini.

“Huh? Hurmm..” Erma tersenyum dengan reaksi itu. Terkejut lah tu. Lantas, tubuh itu dibenam masuk ke dalam pelukannya.

“Bila along sampai?” soal Tisya usai pelukan antara mereka terlerai.

“Tadi..baru aje. Lebih kurang pukul lima jugaklah.”

“Sorang?”

Erma menggeleng sekaligus buat mata Tisya membuntang.

“Mana dia?” Erma yang seakan memahami siapa gerangan yang dimaksudkan adiknya itu cuma menggeleng lagi. Tisya kerut dahi. Tak ada ke? Ke mana lagi abang iparnya itu?

“Dia tak tidur sini ke?”

“Tidur..”

“Habis?” Erma gelak. Haih! Banyak sungguh soalan dari angah ni buat dia rasa macam famous pulak. Menjadi pusat tumpuan orang ramai.

“Dia pergi ambik achik dari universiti.” Tisya mengangguk. Nak balik pulak achik ni? Baru aje dua hari lepas dia bertanyakan perihal gadis itu sama ada mahu pulang ataupun tidak hujung minggu ini. Jawabnya tidak!

Huh! Ini tak lain tak bukan, mesti kes along dia balik. Kalau tak memang tak baliklah budak sorang tu.

“Angah dah makan?”

Tisya menggeleng membuatkan Erma tersenyum manis. Tisya yang melihat senyuman itu terkedu sesaat dua.

“Jangan cakap..along masak?!” wajah itu berubah ceria. Erma gelak tak sudah.

“Rindu dengan masakan along ke?” Tisya mengangguk ceria. Memanglah! Dah lama mereka sekeluarga tak menjamah air tangan kakak sulung mereka. Air tangan along best tau. Dah lama dia tak pekena ayam masak asam pedas along.

Fuh! Sebut pasal ayam masak asam pedas berkecur air liur Tisya. Terbayang kuah merah yang pekat itu. Wah! Bestnya!! Perut jadi lapar serta merta.

“Jom makan. Sebelum along sampai, sempat along masak ayam masak asam pedas.” Tak sangka! Bagai mimpi dalam mimpi. Baru sahaja dia terbayang akan masakan itu dan sekarang ianya menjadi nyata. Sukanya!

“Nak makan sekarang ke?” laju kepala Tisya mengangguk. Tangannya dipimpin along ke dapur.

“Angah nak makan ayam masak asam pedas.” Aduan Tisya tetap tak berjaya buat adik-adiknya cemburu. Aiman sekadar menjeling.

“Orang dah makan..” membuntang mata Tisya. Sekejap mata itu berkalih pada Erma yang cuma tersneyum sahaja.

“Angah balik lambat sangat. So, adik-adik makanlah dulu.”

“Tak apalah. Janji angah yang last! Boleh melantak sampai habis.” Tangan dicuci dan kaki segera mencari nasi.

“Jangan nak mengada! Ingat sikit achik yang baru nak balik tu..” Aliah datang menegur.

“Alah.. Takkanlah..” muka ceria kini berganti dengan muka masam. Tak puas hati betul. Nak tunggu memang lambat. Nak tahan perut dulu memang taklah! Sebut sangat hal ayam masak asam pedas air tangan along, memanglah dia tak tahan lagi.

“Amboi cakap macam mak tak masak aje malam ni. Mak masak special tau.”

“Tapi..mak tak pandai masak ayam masak asam pedas.” Aliah ketap bibir. Tangan yang membawa ikan dalam bekas dari peti ais itu rasa macam mahu dihempukkan aje ke kepala anaknya.

“Cakap main sedap betul kamu ye, angah. Jangan makan malam ni!”

“Nak jugak.”

“Beranilah turun. Mak bagi kamu telan sudip ni nanti.” Sudip sudah ditayang ke muka Tisya.

“Mak!! Orang nak makan ni.” Tisya menjerit geram. Suka betul maknya kalau nak mengusik orang.

“Siapa suruh cakap masakan mak tak sedap?”

“Yelah!! Mak masak sedap.”

“Apa dia?”

“Mak masak sedap!”

“Tak dengar.. sekali lagi?”

“Fikir-fikirlah sendiri mak.” Erma gelak kuat bila Tisya membalas hambar kali ini. Aliah yang ketap bibir turut tak mampu menahan gelak tawanya. Akhirnya dia cuma tersenyum dan menyambung kerja.

“Mak nak along tolong?”

“Boleh aje..” huluran si anak disambut baik. Ah! Suasana ini..sudah lama dia tak merasainya. Rasanya sudah hampir tiga tahun semua ini berlalu. Rindunya dia hanya tuhan yang tahu. Dan tak percaya sungguh rasa rindu itu akhirnya bertukar menjadi pengubat jiwa hatinya yang lara.

Di saat itu dia sudah lupakan tentang berita kehamilan Erma itu. Erma jugak tidak pernah membuka cerita itu seolah-olah tidak apa-apa yang terjadi antara mereka. Dah kalau Erma diam, Aliah apatah lagi. Dia tak mahu masuk campur. Cuma rasa bimbang itu tetap ada. Namun, bila melihat si anak betul-betul di depan matanya dengan sihat walafiat begini, rasanya tak ada apa-apa yang perlu dia bimbangkan.


KETUKAN di pintu mengakhiri talian di telefon. Seiring butang merah ditekan, pintu biliknya terkuak dari luar. Tisya angkat kening. Menanti siapa gerangan yang mengetuk pintu biliknya. Persoalan dalam benak mindanya akhirnya terungkai jua pabila wajah Erma masuk ke dalam.

            “Angah dah nak tidur ke?” Tisya menggeleng. Ruang di sebelahnya ditepuk-tepuk halus, mengajak Erma untuk duduk bersama.

Erma membalasnya dengan senyuman.

“Ada apa along?”

“Along nampak tadi angah bercakap di telefon. Siapa?” senyuman Erma serius nampak lain di mata Tisya. Main jeling-jeling akhirnya membuahkan tawa antara mereka. Erma angkat kening.

Tisya pula buat muka. Mereka bisu ke sampai-sampai nak main isyarat bagai ni? Isyarat special lagi. Hanya berkomunikasi dengan menggunakan mata sahaja. Tidakkah itu dinamakan hebat?

“Tak adalah along.” Tisya beralah juga. Penat main mata dengan along.

“Betul ni?”

“Iya..betul.” bersungguh-sungguh Tisya cuba meyakinkan.

Erma cuma mengangguk. Namun, reaksinya seperti tidak berpuas hati dengan jawapan yang Tisya berikan. Apa-apapun, dia tetap memilih untuk percayakan adiknya. Biarlah kalau itu tipu sekalipun kerana dia percaya suatu hari nanti pasti segalanya akan terbongkar juga.

“Macam mana reunion semalam? Best?” Tisya angkat kening. Macam mana along boleh tahu tentang itu?

“Macam mana along tahu semalam angah ada reunion?” kening terjungkit sama bersama soalan itu.

“Mak yang bagitahu.” Tisya menggeleng sahaja. Kalau mana-mana berita terlepas kepada orang yang salah memang tiada orang lagi yang perlu dia salahkan selain mak. Aduhai, mak ni.. Suka sangat cerita dekat along!

“Dah ada calon?”

“Apa punya soalan ni?”

Erma gelak. Bahu adiknya ditolak sedikit dengan bahunya.

“Cakap ajelah. Jangan malu-malu,” Tisya gelak lepas.

“Ya Allah. Sungguh la along. Angah ke sana kerana reunion semata-matalah.”

“Sungguh?”

Tisya mengangguk laju-laju.

“Habis..kenapa mak cakap kamu balik dengan muka masam?” Tisya tarik nafas. Tengok! Tak tanya lagi, along dah bagitahu siapa dalang di sebalik rahsia yang terbongkar ini. Aduh, mak ni memanglah!

Ini tak lain tak bukan mesti kes dia balik sambil hentak-hentak kaki masa masuk ke dalam bilik ni. Mana taknya kalau dia dah kena tipu di Nisaa. Mati-mati dia ingatkan Nazril akan ada sama. Rupa-rupanya penantiannya selama dua jam itu sia-sia bila tubuh itu langsung tak memunculkan diri. Puas dia membatu bagai anak patung, rupa-rupanya tiada apa-apa yang menarik buatnya di situ.

Sia-sia sungguh! Ingatkan adalah jugak untungnya meskipun kena kutuk kaw-kaw hari tu. Tapi, Nazril tak munculkan diri jugak.

“Itu…itu..tak ada apa-apalah, along.”

“Kenapa pulak ni? Apa jadi? Cuba ceritakan kat along.” Erma cuba menarik perhatian Tisya. Masa ini sahajalah waktu yang dia mahu berbakti kepada adik-adiknya kerana dia pasti selepas ini pasti tiada lagi ruang buatnya bersama keluarganya yang tercinta ini. Oleh itu…tiga hari yang ada ini, akan dia manfaatkan seelok-eloknya.

“Tak ada apa-apa. Tak ada kaitan dengan lelaki atau sebarang hubungan pun.” Erma menggeleng.

“Angah ingat along cuma nak dengar benda macam tu sahaja ke? Along tak kejamlah. Ceritakan ajelah. Along boleh dengar. Apa masalahnya?” perhatian Erma benar-benar tertumpu kepada Tisya kini.

Tisya ketap bibir. Keprihatinan Erma sering kali buat dia tewas. Along memang pandai pancing perhatian orang. Yang tak mahu bercakap pun akan bercakap nanti.

“Orang ramai dah mulakan persoalkan tentang status angah.” Erma diam bila Tisya mula bercerita mengenai masalahnya.

“Status apa pulak ni?” soal Erma masih kurang mengerti.

“Status Tisyalah along. Along kan tahu, angah ni dah lama membujang.”

“So? Apa masalahnya kalau bujang sampai sekarang? Apa yang diaorang sibukkan sangat? Sibuk nak jaga tepi kain orang. Diaorang tu dah kahwin ke?”

“Dah..” Tisya menjawab lemah dan Erma jungkitkan kening. Terkejut sedikit dengan jawapan itu.

“Oh ya? Cepatnya.”

“Cepat apanya along. Angah dah umur dua puluh lima. Kawan-kawan angah majoriti dah kahwin. Siap beranak pinak lagi.”

“Alah.. tenanglah angah. Macamlah angah sorang je yang tak kahwin lagi.”

“Tapi..at least yang lain dah berpunya. Ada yang dah bertunang. Setidak-tidaknya mereka tahu status mereka. Ini angah?” Erma tergamam mendengar luahan lemah itu.

“Angah..”

Tisya tunduk. Jari-jarinya bermain sesama sendiri.

“Angah nangis?” Tisya tak dapat bendung rasa sedih itu. Entah kenapa malam itu dia jadi sensitif atau mungkin kerana ada Erma di sisi membuatkan dia rasa ingin meluahkan segala yang terbuku di dada.

“Hey..kenapa nangis ni?” Erma cuba memujuk. Agak cemas bila melihat air mata yang jatuh di pipi Tisya.

“Rasanya sakit along. Angah pun teringin nak ada suami. Tak suami, tunang okey. Tak tunang boyfriend pun jadilah. Tapi..kenapa angah sampai sekarang tak ada lagi? Angah tak laku ke? Kenapa orang tak sukakan angah, along? Apa salah angah? Buruk sangat ke angah ni?” belakang adiknya diusap lembut.

“Angah pun teringin jadi seperti yang lain. Nak jugak merasai apa itu cinta. Kasih..sayang. Angah nak rasa semua tu.” Erma tersenyum.

“Tapi hakikatnya..angah kan dah ada semua tu?”

“Huh?”

“Angah.. cinta, kasih dan sayang itu tak semestinya terlahir melalui hubungan antara dua insan yang sedang hangat berkasih. Sebenarnya bagi along..semua rasa itu bermula di sini. Dari sebuah keluarga. Dalam keluarga adanya ayah dan mak. Kerana mak, kita dapat melihat dunia. Kerana ayah kita bisa melihat adik-adik kita yang lain juga. Perasaan kasih, cinta dan sayang itu sebenarnya bermula dari ayah. Ayah memberi rasa itu pada mak. Kemudian, mak memberi rasa yang sama pada along. Dan along luahkan benda yang sama pada adik-adik. Rasa kasih dan sayang antara kita terjalin melalui itu.

Angah.. kalau angah rasakan yang angah masih sendiri hingga kini, tak apa. Kami ada. Tak ada calon tak bermakna jodoh angah tiada. Mungkin kerana angah ini seorang yang sangat istimewa sebab itu Allah mahu pelihara angah. Memberi sebuah rasa yang halal untuk angah rasai berbanding yang lain. Berkasih masih atas angin tanpa ada alasan yang kukuh untuk bersama. Oleh kerana itu, percayalah angah. Percaya pada yang satu bahawa pastinya jodoh angah akan tiba satu masa nanti.”

Tisya terharu. Hatinya sedikit tenang pabila mendengar kata-kata itu. Tidak dapat dia nafikan. Ada benarnya kata itu.

“Along..”

“Hmm?”

“Bagaimana rasanya?” Tisya tarik nafas sekejap sebelum menyambung ayatnya supaya kedengaran jelas.

“Bagaimana rasanya bila sudah bersuami? Bahagia tak?” Erma bungkam. Soalan itu benar-benar tertuju padanyakah? Dipandang Tisya tak berkelip.

“Along bahagia?” dipandang wajah itu lagi.

Tak menunggu lama, Erma mengangguk. Rasa keliru yang bersarang di kepala diabaikan. Tujuannya ke sini masih ada misinya! Misi untuk membersihkan nama Afiq agar kelihatan seperti suami yang baik kembali. Dia tidak boleh biarkan keluarganya tahu akan sisi sebenar suaminya itu.

Biarlah apa-apapun yang jadi, kisah dan cerita di sebalik pernikahan mereka biarlah dia sahaja yang tahu. Biar dia sahaja yang menjadi perahsia misteri itu.

“Macam mana abang Afiq jaga along?”

Erma gigit bibir. Perlukah dia mencipta lagi anganan di awan? Mencipta anganan ibarat seperti menjerut leher sendiri. Perit sungguh rasanya kerana dia tahu kisah itu tidak nyata. Namun, ingin menolak permintaan itu dia tak sampai hati. Lagi-lagi bila melihat wajah yang pengharapan adiknya.

“Baik.” Tisya gelak kecil.

“Yelah. Baik yang macam mana? Ceritakanlah..” pinta Tisya lembut.

“Abang Afiq.. dia istimewa.” Komen Erma lagi.

“Maksud along?”

“Dia boleh jadi mak..ayah..abang..kekasih..dan suami.” Tisya mengangguk. Sudah faham akan apa yang cuba alongnya sampaikan. Bibirnya menarik senyuman lebar.

“Mesti seronok kan, along?” perlahan-lahan kepalanya jatuh ke bahu Erma. Erma menunduk kecil. Rasa perit sedikit dadanya.

“Kalau seronok..angah kahwinlah cepat-cepat.” Automatik Tisya bangun dari bahu itu. Bibir memuncung panjang bila terasa seperti disindir Erma.

“Apa along ni. Tadi orang baru cakapkan tadi. Tak ada calon! Sengaja tau nak sakitkan hati orang.” Erma sengih.

“Takkan tak ada walau sorang kut? Angah tak ada berkenan kat siapa-siapa ke?” Tisya mengeluh.

“Kalau along tanya angah. Berkenan tu memang ramai, tapi sayangnya tak ada pun yang berkenan kat adik along yang sorang ni.” Erma gelak.

“Alalala.. Kesiannya.”

“Apa along cakap?” dicubit pinggang Erma. Erma menjerit kesakitan. Pinggang itu digosok laju-laju. Pedih weh!

“Along nak pujuk aje, kenapa sampai kena cubit ni? Jahatnya angah!” Tisya mencebik.

“Padan muka! Lain kali jangan cakap lagi macam tu. Angah tak suka! Macam angah ni tak laku sangat sampai nak kena pujuk macam tu.”

“Dah realitinya macam itu.”

“Along!!” Erma bergerak menjauh sedikit dengan kedua-dua tangannya menahan lengan Tisya dari bergerak lagi. Sumpah takut kena cubit lagi.

“Jangan lebih-lebih, angah. Along gurau aje tadi.” Takut-takut Erma menjawab. Tergelak Tisya dengan keletah itu. Lucu sungguh.

“Tahu takut..”

“Okey..sekarang cuba cakap dengan along. Lelaki yang macam mana yang angah cari?” Erma mengeluh kelegaan pabila Tisya seperti termakan dengan ayatnya. Nanti tak adalah dia nak kena jadi mangsa cubitan gadis itu lagi.

Mata Tisya ternaik ke atas sedikit.

“Yang kacak..maknanya ada rupa! Berduit.”

“Amboi.. mata duitan nampak.”

“Haruslah! Hidup memang perlukan duit. Tapi..tak bermakna perlu yang kaya-raya. Cukuplah sekadar boleh menampung hidup kami sekeluarga nanti.” Erma mengangguk. Turut sama bersetuju dengan ciri-ciri yang disebut Tisya itu.

“Lagi?”

“Yang sayang ibu bapa dia..dan terakhir! Yang ada pegangan agama.” Tak kisah sama ada pegangan itu kuat ataupun tidak. Kerana kalau dah namanya manusia, takkan boleh lari dari buat kesilapan. Oleh itu, segala baik dan buruk pasangannya nanti dia cuma menerimanya dengan hati yang terbuka. Kalau pasangannya nanti buat salah maka ianya akan jadi tanggungjawab dia untuk memperbetulkan segala-galanya sebagai isteri. Dan begitulah juga sebaliknya jika dia buat silap.

“So..setakat ni angah pernah jumpa lelaki yang macam tu?”

Tisya menggeleng.

“Dah namanya crush, along. Mana ada peluang nak rapat-rapat macam tu. Lagipun, angah bukannya ramai sangat kenalan lelaki. So..kalau dari yang Tisya nampak tu hanya boleh lihat dari dua aspek sahaja. Iaitu berduit dan rupa.”

“Jadi.. Ada ke calon yang macam tu?” Tisya gelak.

Of courselah ada along.” Ramai kut! Dah namanya crush mestilah yang hot-hot. Ada orang nak jadikan tukang pengemis tu sebagai crush mereka? Sudah tentu-tentulah mereka akan jadikan seorang lelaki yang bersifat sempurna sebagai crush mereka. Samalah keadaanya seperti Tisya.

“Amboi. Cakap macam banyak aje.”

“Banyak! Memang banyak along.” Erma angguk sahaja. Boleh tahan jugak adiknya yang sorang ni. Gaya bercakap masa mengadu akan masalah pada dia tadi sepertinya dah desperate mahukan suami tapi bila ditanya tentang ciri-ciri calon yang dia idamkan..aduhai! Orang kalau dah desperate terima aje apa adanya pasangan mereka.

Ini angah? Memang berbeza! Atau dalam erti kata yang lain. Tisya ni sebenarnya seorang yang pemilih juga.

“Angah ingat muka diaorang?”

“Tak ingatlah, along. Ramai sangat.”

“Yang paling angah ingat?” Tisya terkedu sekejap. Memaksa memorinya membuka kembali folder my crush di dalam kotak fikiran. Tapi, hampir lima minit satu wajah pun tak berjaya menjelma di ruangan matanya.

“Tak adalah along.”

“Sorang pun?” Tisya menggeleng. Namun, baru separuh kepala itu menggeleng matanya seperti terpaku akan sesuatu.

Seperti ada bayangan yang singgah di depan matanya. Tubuh yang tegap dan sasa! Rambut hitam, kulit licin, berkaca mata hitam, begitu juga dengan pakaiannya. Serba hitam. Lelaki itu tersenyum padanya dan tersenyum lagi. Lebih lebar senyuman itu dari yang keduanya. Alahai..manisnya senyuman itu. Siapa lelaki ini? Tak ingat pulak dia. Tapi kenapa boleh dia bayangkan lelaki ini sekarang ini? Dari celah mana dia boleh jumpa mamat ni, ya? Atau…ini adalah mana-mana selebriti yang dia tengok di kaca telivisyen sahaja?

"Jalan untuk ke Tun Aisyah memang ikut arah sini ke?"

Tisya tergamam. Suara itu! Dia bagaikan dapat mendengar suara itu.

“Angah..” bahu Tisya ditolak Erma sedikit. agak cemas dia bila Tisya bagaikan jasad tanpa roh. Dengan mata yang bagai kena pukau sahaja. Sungguh menyeramkan.

“Angah!” dikuatkan sedikit panggilannya.

“Mamat Tun Aisyah.”

“Huh?”

“Mamat Tun Aisyah!” ulang Tisya lagi pada Erma. Erma jungkitkan kening. Kenapa dengan adiknya yang sorang ini?

“Tun Aisyah? Siapa tu?”

“Itu dia! Yes! Mamat Tun Aisyah, along.” Kepala digaru. Apa kena dengan Tisya? Tiba-tiba sahaja bibir itu begitu ringan menyeru nama apa entah itu. Tun Aisyah?

Itu nama lelaki pujaan hati angahnya kah?


Kalau ya.. Buruknya nama!
Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum.
Anda dah baca smuanya? Sila-silalah komen, ya.
Beri pendapat mahupun penambahbaikkan.
Terima kasih.
Kerjasama anda, amat saya hargai.

Copyright© All Rights Reserved silencernovel.blogspot.com