Pengikut Setia.. XD

Sunday, 25 January 2015

Terbaik Bagimu Bab 4




2 Tahun Kemudian..

TALIAN sudah mati. Lantas telefon di tangan diletakkan kembali ke atas meja. Penuh berhati-hati. Sedang mata merenung lembut peralatan alat solek atas meja, bibirnya mengeluh kecil. Tak tertahan rasa hati, tiba-tiba ada air mata mengalir di pipi.

            Tidak mahu mutiara jernih itu berpanjangan, dikesat pantas dengan hujung jari. Nafas ditarik bersama mata yang memanah kemas ke figura dirinya di sebalik cermin besar ini. Ditilik tubuhnya atas bawah.

“Hurmm…”

Bila teringatkan kembali perbualannya bersama Tisya tadi, dia jadi sebak. Tidak sangka bibirnya mampu mengorak kata indah begitu. Segala anganan fantasi yang dia angankan dahulu kalanya, diceritakan pada si adik. Seolah-olah apa yang dia angankan dulu menjadi nyata bila hati sudah berpaut pada insan yang bernama Afiq Hakimi.

“Aku buntu Yati. Aku dah hilang cara dah. Apa lagi aku nak buat? Masalah aku rasa macam lagi bertambah-tambah pula.” Adu Erma. Resah gelisah sekali dirinya.

Teringatkan akan kedatangan Norman, bapa saudaranya ke rumah tempoh hari sungguh buat mereka sekeluarga sesak nafas. Bicara orang muda itu tampak sopan namun sinisnya tetap ada. Tamak sangat sampai-sampai tanah yang kecik bagai mini kebun itu pun tetap dimahunya. Tapi itu bukan masalahnya!

Apa yang dia alami benar-benar buat dia serabut. Rumah yang mereka sekeluarga bina atas titik peluh sendiri terasa sia-sia. Habis segala duit dilaburkan oleh arwah ayah mereka gara-gara mahu membina sebuah rumah yang tersergam indah di atas tanah itu.

Sejurus memperoleh persetujuan dari Suharti, dengan senang hati arwah ayahnya membina. Balik kerja pada sebelah petang terus berkerja ikat bata pula. Berkerja sendiri bersama anak-anaknya. Tidak ada seorang pun ahli-ahli keluarga belah si ibunya mahu membantu. Keluarga si ayah mereka pula tiada dek ayah mereka adalah anak tunggal dan di waktu dirinya berumur 3 tahun, segalanya sudah berakhir buat ayah apabila orang tua mereka sudah pergi. Dan ketika itu apa yang penting bagi kami, cukuplah dengan adanya keluarga sendiri.

Letih itu memang letih namun apakan daya. Mahu upah orang, mereka memang tak akan mampu. Cukuplah duit mereka dihabiskan dengan membina rumah yang dikira melebihi dari kemampuan mereka. Rumah baru berasaskan batu?

Itu adalah rumah impian maknya. Tak dapat dia lupa betapa gembiranya si ibu bila rumah itu siap sepenuhnya. Saat itu memang berbaloi mereka berhempas pulas, mengerah keringat dalam membina rumah ini. Yang wanita pun tak jadi macam wanita bila mereka pun turut turun padang. Tolong si ayah membina rumah. Angkat tiang batu untuk dijadikan sebagai asas pengukuh rumah mereka kemudian angkat bata untuk memudahkan kerja si ayah.

Ah! Ingatan itu sungguh indah untuk dibayangkan. Meskipun keesokkan harinya mereka mengadu sakit-sakit belakang dan sebagainya, namun perasaan indah itu tetap ada. Berkumpul sambil bergelak ketawa ketika berkerja itu sangat menyeronokkan apatah lagi hanya melibatkan ahli keluarga mereka sahaja.

Terasa ukhuwah yang sedia ada, semakin kuat ikatannya. Namun…kini? Ianya bagai sudah musnah. Rumah dibina bersama harapan terasa sepertinya punah ditelan arus. Hanya dengan sikap kerakusan manusia, mereka yang menjadi mangsa.

Redha. Itulah apa yang selalu Aliah pesan kepadanya. Apa-apapun yang terjadi, kita cuma pasrah. Ikut sahaja segala arah yang Tuhan tetapkan buat kita. Berusaha untuk ke arah yang lebih baik. Dan kerana itu.. Erma akhirnya telah buat satu keputusan besar dalam hidupnya.

Menerima Afiq Hakimi bukanlah kehendaknya. Hanya kerana satu masalah yang tak mampu dia selesaikan, dia terpaksa menerima lelaki itu. Berdiri di atas garisan antara takut dan tanggungjawab, dia akhirnya memilih tanggungjawab kerana waktu itu hatinya seakan yakin dengan keprihatinan dan kesopanan Afiq Hakimi untuk dia angkat sebagai suami. Hatinya yakin lelaki itu mampu membahagiakannya.

Dumm!!

Tersentak dengan hentakan pintu yang maha kuat itu memaksa Erma untuk berpaling ke arah suara yang sedang sakan gelak itu. Sinisnya wajah itu hanya dibalas Erma hambar.  Tidak dihiraukan pandangan itu, mata Erma hanya sempat memanah pada pelukan erat si suami pada pinggang seorang gadis yang dia tak kenali.

“Nah!!” gaun merah paras lutut dilempar ke katil. Erma cuma menjeling. Tidak berniat untuk dia ambil.

“Siapa dia?”

“Huh?” Afiq seperti terkejut dengan soalan yang dia tak jangkakan dari bibir mungil isterinya. Erma sudah tak kisah yang lain, apa yang jelas di matanya sekarang ini dia perlukan jawapan! Jawapan dari lelaki itu akan siapa perempuan yang berada di sebelah lelaki itu.

“Siapa perempuan ni?” Afiq gelak lepas. Soalan bodoh mana isterinya tanyakan dia ni? Huh! Macamlah Erma tak biasa nampak dirinya yang sering bertukar perempuan ini.

Erma gigit bibir. Tak dapat dia nafikan, hatinya amat memerlukan jawapan dari lelaki itu. Kalau tidak hatinya pasti akan gusar memikirkan akan jawapan itu. Kenapa dengan dirinya? Sudah jatuh cintakah dia pada lelaki itu?

“Siapa lagi? Kekasih aku lah.” Allah! Rasa sungguh perit dadanya. Bagai nak pecah sekeping hati ini. Begitu mudah Afiq lukakan hatinya. Saban hari, pasti suaminya akan bertukar perempuan sedangkan dia masih mampu melayani suaminya.

“Abang nak apa lagi dari perempuan-perempuan macam ni?”

“Eh kau…”

“Sayang…you buat apa dengan dia ni? Jomlah masuk bilik, yang…” rengekkan itu mematikan kata-kata Afiq. Ketapan di bibir berganti dengan manisnya senyuman lelaki itu. Erma pejam mata. Sekelip mata si gadis ini mampu membuat suaminya tersenyum. Dengan dia? Jangan haraplah dia mahu memberi senyuman, usahkan senyuman bercakap dengan lembut pun lelaki itu masih tak mampu.

“Abang…” lengan Afiq digengam Erma sambil kepalanya menggeleng. Enggan melepaskan suaminya.

“Eh, kau kenapa?” suara sudah naik seoktaf. Jelingan tajam lelaki itu cuba dihadapi dengan nafas yang tenang.

“Abang..kalau abang nak dia layan abang, tak payah. Erma ada.. Erma boleh layan abang.” Bersungguh-sungguh Erma meyakinkan lelaki itu. Dia tidak lagi mahu suaminya bertukar ganti perempuan saban hari kerana dia rasakan seperti dia tak ada gunanya sebagai isteri lelaki itu.

Pelukan terlerai di pinggang gadis itu sementara Afiq sudah melangkah ke arah Erma. Perlahan-lahan, kaki dari lantai naik ke atas katil. Erma mahu mengundur namun paha lelaki itu sudah memerangkap dirinya. Lantas, tubuhnya hanya mampu berbaring ke atas katil bila wajah Afiq menghampirinya. Jarak antara mereka kini hanyalah tinggal beberapa inci.

Erma telan liur. Apa yang mahu suaminya lakukan? Kalaupun lelaki ini mahukan dia, takkanlah di depan gadis ini?

“Kau boleh layan aku sekarang?” soalnya membuatkan segala bulu roma Erma naik menegak sembilan puluh darjah.

“Err…” tergagap-gagap Erma dibuatnya. Afiq gelak sinis. Pipi gebu Erma ditampar halus.

“Kalau kau bagi aku free sekalipun, memang aku tak nak.” Gelak tawa gadis itu buat Erma serba tak kena. Kata-kata Afiq begitu mengguris hatinya. Tubuh lelaki itu yang mahu bangkit darinya ditarik kembali.

“Woi!! Apa kau buat ni?!” marah Afiq.

“Kenapa abang cakap Erma macam tu? Apa yang buruk sangat Erma sampai abang tak mahukan Erma lagi?”

“Sebab aku jijik dengan kau!” membulat mata Erma. Tidak percaya kata itu bisa terlafaz dari bibir lelaki itu.

“Jomlah sayang. I dah tak sabar ni..” ditarik lengan Afiq namun cepat-cepat Erma tepis tangan gadis itu. Kurang ajar betul minah ni!

“Hey! Kau ni kenapa? Dah orang tak suka, janganlah paksa!” bentak gadis itu.

Pangg!!

“Woi!!” mencerlung mata Afiq menikam sepasang mata lembut milik Erma. Turun naik dada gadis itu.

“Jangan nak kurang ajar sangat! Dah! Siap-siap, lagi satu jam van dah nak sampai.” Makin berapi Erma dibuatnya. Lagi-lagi, bila melihat keprihatinan Afiq terhadap gadis itu. Main usap-usap pipi bagai.

“Tak nak! Erma tak nak buat kerja ni lagi!!”

“Apa kau cakap?!” kaki yang mahu melangkah keluar terus balik ke dalam kembali. Pandangan tajam itu, Erma cuba hadapi dengan berani meskipun nyatanya tidak.

“Erma tak nak buat benda ni lagi!”

Kepala terus refleks dengan tindakan Afiq. Bila tangan lelaki itu mahu hinggap ke muka, kepala Erma laju sahaja menunduk. Namun, tunggu dan tunggu, ianya tetap juga begitu. Mata Erma perlahan-lahan naik merenung sekujur wajah suaminya.

“Jangan nak macam-macam Erma! Kau ingat sikit, siapa yang tolong kau! Kalau bukan sebab aku, keluarga kau dah merempat tahu tak!” belang yang baru mahu tunjuk taring seperinya tumpul kembali. Erma jadi lemah bila perihal keluarganya dibangkitkan. Afiq tarik senyum. Sinis sungguh senyuman itu.

“Kau tahukan siapa aku? Jangan main-main dengan aku Erma sebab kau sendiri dah tahu apa kesannya nanti. Jadi..kalau kau tak nak aku buat yang buruk-buruk pada keluarga kau, baik kau teruskan aje dengan apa yang kau patut buat!”

Kaki tak mampu menampung tubuh yang kian lemah itu. Tubuh itu akhirnya melorot jatuh ke bawah. Kata-kata Afiq sehingga ke saat ini masih belum mampu dia buangkan jauh-jauh.

Ya, dia sedar. Keluarganya memang terhutang budi kepada lelaki itu. Sekarang sebagai balasan atas segala budi baik itu dirinya dijadikan sebagai galang gantinya. Ibarat barang dagangan atau sistem barter sahaja lagak yang sedang mereka mainkan. Ikatan perkahwinan yang mengikat ibarat hubungan dagangan antara manusia. Subhanallah! Siapakah dia di mata suaminya?


Puas dia tahan, akhirnya air mata itu jatuh menitis ke pipi. Menangisi nasib yang satu itu.

4 comments:

  1. Kesiannya erma... naper kejam sgt afiq nie...

    ReplyDelete
  2. Siannya..knp nsb erma jd mcm tu???

    ReplyDelete
  3. Er...kejam betul Afiq.
    Kasihan Erma.
    Kerana terhutang budi sanggup Afiq memperdagangkan maruah isterinya sendiri.

    ReplyDelete
  4. Aduhaii...kenapa sampai jd macam ni kehidupan erma..
    teruk betul la suami dia..

    ReplyDelete

Assalamualaikum.
Anda dah baca smuanya? Sila-silalah komen, ya.
Beri pendapat mahupun penambahbaikkan.
Terima kasih.
Kerjasama anda, amat saya hargai.

Copyright© All Rights Reserved silencernovel.blogspot.com