Pengikut Setia.. XD

Tuesday, 27 January 2015

Terbaik Bagimu Bab 5




MENDENGAR cerita tentang bagaimana kehidupan si kakak, Tisya mula menanam harapan. Mahu berumah tangga cepat-cepat. Sudah tidak tertahan rasanya. Bila telinganya asyik menadah kisah romantis akan pasangan itu, timbul perasaan cemburu di hati. Ingin sekali dia punyai lelaki seperti Afiq Hakimi sebagai suami.

Bak kata kakaknya dialah lelaki penyelamat akan cinta kakaknya. Kecewa akibat ditinggalkan Qasyah bukanlah tiket akan terkuburnya sebuah kebahagiaan buat kakaknya tetapi bagaikan membuka lembaran kebahagiaan yang tidak terperi buat Erma. Allah! Bestnya.

Baru tadi dia habis berbual dengan kakaknya. Hajat mahu bertanya khabar diselang selikan Tisya dengan bertanya perihal kehidupan si Erma. Bukan mahu menyibuk cuma..dia memang terasa teringin. Argh! Alangkah indahnya jika kehidupan dia juga seperti Erma.

Dapat dia bayangkan bagaimana rupanya. Pasti hidupnya bertambah ceria. Yelah, punya lelaki di sisi. Oh, indahnya! Tidak seperti sekarang. Dia hanya mampu tadah telinga dan telan liur sahaja bila rakan sekerja bercerita tentang pasangan masing-masing. Bercerita bagaimana sikap romeonya pasangan dia buat Tisya terseksa. Tidak dia khabarkan tentang keadaan dirinya yang masih solo hingga kini.

Malu! Itu yang paling dia takutkan. Tentunya orang ramai akan buat dia sebagai bahan lawak nanti. Andartu? Oh..jauhkan tanggapan buruk itu! Tidak! Dia memang takkan sanggup hidup membujang sampai ke tua.

Terkadang rasa sedih juga. Kenapa hingga kini dia masih belum berpunya? Setidak-tidaknya berilah petunjuk buatnya. Dia juga mahu merasai bagaimana nikmatnya cinta itu. Asyik mendengar dari mulut orang sahaja, mahu juga dia alami sendiri. Sudahlah dia yang paling excited bila rakan-rakannya bercerita. Gayanya tak ubah seperti orang yang tak punya pengalaman. Dia bimbang sebenarnya! Bimbang jika suatu hari nanti rasa excitednya menjadi racun buatnya.

Yelah! Kalau dah selalu overact macam tu, tak mustahil orang akan tahu juga statusnya. Orang kata apa? Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Argh! Memalukan sungguh Tisya!

Pap!!

Lamunan serta anganan indah itu berjaya diusir pergi dengan hanya sentuhan lembut di pahanya. Tubuh yang berbaring lesu di sofa, dinaikkan bila Aliah menghampiri. Sebelum mulut berlabuh bicara, sempat mereka berbalas senyuman.

“Penat?” soal Aliah cuma dibalas dengan gelengan.

“Habis tu?” korek Aliah lagi. Pelik juga dia. Tadi riuh sangat suara Tisya bercakap di telefon. Dengan siapa dia tak pasti sebab dia pun dengar sayup-sayup saja.

“Mak..”

“Hurmm?” lembut suara itu menggumam sambil kepala itu diusap. Tak cukup dengan itu dibelai rambut panjang Tisya.

“Kenapa Tisya tak kahwin-kahwin jugak sampai sekarang?” Aliah kerut dahi. Dipandang muka itu sekilas.

“Tanya mak ni kenapa? Tanyalah pada kamu. Mak okey aje. Dah nak rasa kahwin tu, kahwin ajelah.” Begitu selamba Aliah menjawab. Geram pulak Tisya bila mendengarnya. Dengusan kasar terhembus di situ.

“Memanglah orang nak kahwin, mak oii.. Tapi..” bibir panjang tarik muncung. Digaru pula kepala itu. Cukup resah sekali gayanya.

“Tapi, apa?” Aliah menyoal macam tak mengerti dengan situasi yang melanda si anak daranya itu. Tisya jadi panasaran. Maknya ini berlagak tak tahu atau memang tahu tapi buat-buat tak tahu? Nak jawab pun dia jadi teragak-agak. Kalau boleh dia memang tak nak sebut perkataan sial itu.

Sebut aje perihal kahwin mesti bermaksud tak laku! Argh!

“Tapi apanya mak oi.. Takkan mak tak faham-faham lagi? Angah tu sampai sekarang tak ada calon.” Sampuk Karmila sebelum langkah menuju ke dapur. Dijeling muka masam kakaknya itu.

“Oh..kamu jual mahal sangat.”

“Bukan jual mahal mak! Tapi, tak ada orang nak.” Jalan nak ke tangga terbantut jadinya bila ada bantal singgah ke muka Karmila. Tak cari dah siapa penjenayahnya sebab dia tahu siapa yang baling bantal tu pada dia. Lantas, bibir koyak sengihan kecil sahaja.

“Jangan sebut benda tu. Pantang betul angah dengan ayat tu. Tahu tak?” bentak Tisya tiba-tiba. Aliah terpaku sekejap dengan gaya bersahaja anaknya itu. Tepat betul anaknya baling bantal tu.

“Alah, angah. Betul apa…”

“Tak! Tak ada betulnya! Percayalah nanti bila angah kahwin empat hari, empat malam angah tayang muka laki angah kat kau!” Karmila gelak.

“Uih.. kenapa tak seminggu aje?” sampuk Aliah. Karmila tahan gelak bila Aliah turut mengusik anak daranya itu.

“Mak…” meleret suara itu. Marah benar Tisya sekarang. Aliah gelak. Terus tubuh itu masuk ke lembah pelukan ibunya.

“Dasar anak manja!” Tisya jelirkan lidah. Tak peduli dengan ejekan itu. Ah, apa-apalah. Nak manja pun tak boleh ke? Apa, hanya anak bongsu saja yang boleh manja? Ceh!

“Sebab tu tak laku-laku sebab angah dari dulu sampai sekarang tak pernah nak lari dari ketiak mak. Macam mana lelaki nak nampak angah kalau asyik sorok muka dekat ketiak mak ni?” ternaik kepala itu dengan riak bengisnya.

“Isyh kamu ni.. Apa cakap macam tu!” tegur Aliah. Tisya jelir lidah. Padan muka! Kutuk orang sangat.

“Sebenarnya..kamu cari orang yang macam mana sayang? Takut kamu yang terlalu memilih, tak?” Tisya menggeleng laju.

“Tisya tak pilih la, mak. Nak pilih macam mana kalau satu calon pun tak ada?”

“Iya?” Aliah soal dengan muka terkejut.

Tisya mengangguk lemah.

“Angah nak orang macam mana?” pancing Karmila.

“Entah. Bagi angah, cukuplah dia baik dan pandai jaga hati orang tua.” Aliah kerut dahi.

“Kenapa tak cari orang yang bijak dalam perihal agama?” mulut Tisya memuncung dengan soalan itu.

“Tisya tak naklah orang yang terlalu alim sangat. Sedang-sedang aje pun cukuplah. Tapi, of course la mak. Orang yang tahu menjaga hati orang tuanya pasti orang yang taatkan agamanya juga. Kan?” Aliah mengangguk setuju dengan pendapat itu. Benarlah apa yang Tisya katakan.

“Psttt.. tak nak yang handsome ke?” Aliah menjuihkan bibir bila si anak menyampuk dengan soalan itu. tak habis-habis, sebut aje lelaki mesti nak yang cukup pakej dari atas sampai bawah. Tapi..dia mengerti. Mana-mana orang pun takkan tolak kalau mendapat yang seperti itu. Kata orang perfect. Tisya tergelak dengan soalan itu.

“Yang sedang-sedang pun okey. Tak perlu nak handsome sangat.. Tapi, kalau dapat..apa salahnya? Kan?” spontan mereka gelak lepas dengan jawapan spontan itu.

“Kalau macam tu…angah nak achik tolong carikan untuk angah?” mata Tisya membulat besar. Orang beri offer tu!! Siapa yang tak mahu kan? Lagi-lagi bila achik. Yelah, adiknya yang sorang ini memang pandai pilih. Buktinya, adiknya pun dah berpunya. Seorang lelaki yang boleh dia anggap sebagai sempurna juga. Ada rupa, baik, cantik tutur bahasanya, agamanya pun tampak baik dan berharta. Tidaklah terlalu berharta namun cukuplah untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami itu.

“Achik ada ke?” bersungguh-sungguh Tisya bertanya. Tak sabar menunggu jawapan dari adiknya itu. Mulut Karmila seperti mahu terbuka tapi sampai sekarang tak keluar-keluar juga bicaranya. Geram sungguh!

Aliah di sebelah buat pandang ke lain sedangkan telinganya habis luas dia bukak. Tak sabar juga mahu mendengar apa jawapan dari achik. Mana tahu melalui anaknya itu terbuka jodoh buat Tisya.

Karmila tarik senyum. “Ada. Achik boleh carikan..”

Meleret senyuman di bibir Tisya. Seriuskah ini? Mimpikah? Seronoknya! Entah kenapa rasa tulang rusuknya bergetar pula. Choi! Haha.. Bergetar lah sangat.

“Tapi..”

“Tapi apa?” laju sahaja Tisya menyoal. Ayat ‘tapi’ itu memang kurang menarik. Tapi kalau achik mahukan upah, dia sanggup beri! Sebagai komisen lah katanya. Haha. Sanggup berhabis segalanya nampak?

“Angah bagi achik kahwin dulu..”

Tisya ketap bibir. Bantal di sebelah dia ambil sebelum dibaling ke arah tubuh itu. Karmila gelak. Tahu itu soalan sensitif tapi dia sengaja juga mahu soal. Mana tahu angah mahu memberinya laluan untuk kahwin dulu meskipun dia tahu apa jawapannya.

“Apa kau cakap? Cuba ulang lagi sekali?” tak cukup bantak kecil di atas sofa yang dia duduki, diambil bantal di sofa sebelah pula. Karmila pantas buka langkah.

“Heh.. Bantal mak tu.. Habislah bantal aku.. Aduhai..” teguran itu tak dipedulikan Tisya. Apa yang paling penting baginya dia mahu seligi-seligi si Karmila ni cukup-cukup. Nak bagi syarat itu! Jangan haraplah!

“Sini kau achik!!”

“Tak nak!!”

Dum!!

Dibaling terus bantal sekuatnya. Tepat mengenai belakang tubuh Karmila. Sakit pulak rasanya. Karmila menempik kuat memanggil si ibu.

“Mak!! Tolong!!” Aliah buat tak peduli. Kepalanya cuma menggeleng.

Nasib kaulah Karmila oi. Dah tahu kakak kau tu ibarat macam gorilla kalau mengamuk. Tanggunglah. Mak tak nak. Silap-silap aku pulak yang kena baling nanti. Malas nak campur urusan si anak, langkah kaki mahu ke dapur.

Nanti lepas main tahulah masuk dapur budak tu. Lapar katanya. Alahai..



"WOI perempuan!" jerkah suara itu dengan lantang.Terangkat kedua-dua belah bahu Erma. Segala semangat yang dikumpul terasa seperti serpihan kaca yang sudah berkecai, menghempas kasar ke lantai. Apa yang tinggal kini hanyalah sepotong doa buatNya.

Selamatkah dia? Ini yang selalu menjadi tanda tanya. Lagi-lagi, bila matanya melihat wajah garang itu.Tanpa belas kasihan, dirinya diperlakukan seperti binatang. Dia penat! Penat menghadapi dengan keadaan rumah tangganya yang huru-hara ini.

"Kenapa kau lari semalam, huh?!" tengking suara itu lagi. Erma menunduk. Sungguh dia takut! Mahu pandang mata yang merah menyala itu pun sudah buat lututnya menggeletar inikan pula wajah bengis itu.

"Aku tanya ni!! Jawablah!!"

"Argh!" rambut itu ditarik kuat. Erma gigit bibir. Rasa sungguh perit! Sering kali kepalanya dijadikan bahan buat lelaki itu melampiaskan rasa marahnya. Bukan tubuh itu yang menjadi mangsa, namun kepala itu dek mahu melindungi tubuhnya dari sebarang kecacatan yang bakal menimpa. Kalau tubuhnya sudah lebam-lebam apa pula kata orang nanti? Oleh itu, suaminya hanya berani bertindak sejauh itu.

"Erma.. Erma.." terketar-ketar Erma ketika mahu menjawabnya.

"Kau apa?!" liur ditelan.

"Erma sakit.."lelaki itu gelak. Bercekak pinggang merenung dirinya. Erma mengengsot kebelakang sedikit.Gerun melihat wajah itu. Dia sepertinya sudah tahu apa yang akan berlaku seterusnya.

"Kau tak dengar ke apa yang aku cakap? Aku tak pedulilah kalau kau sakit sekalipun!! Apa yang aku tahu...hari-hari kau mesti bawak duit kat aku!! Kau faham tak?! Aku nak duit!! Kalau kau tak kerja dari mana aku nak dapat duit tu?! Huh?!" Nafas dihembus dan dihela lembut. Menjaga aturan nafas itu agar lebih stabil.

"Abang.. abang cubalah bertimbang rasa sikit dengan Erma. Erma sakit, abang.Dah beberapa hari dah, Erma rasa tak sedap badan.Cuma semalam aje Erma ambik cuti." Dalam takut, Erma memberanikan diri untuk menjawab. Gerun yang dirasai dibuang jauh-jauh. Mata Afiq membulat. Merenung Erma tak berkelip. Erma pantas tundukkan wajah.

"Kau mengandung?" mata Erma membesar.Tak menjangka langsung akan tentang itu. Dia tak pernah terfikir pun walaupun sekali.

"Aku tanya ni!! Kau mengandung ke?! Kenapa susah sangat nak jawab?!" jerkah lagi suara itu. Erma menggeleng laju. Akibat terlalu takut, dia tak berani untuk menjawab lagi.

"Pastikan kau tak mengandung, eh! Kalau aku tahu..siap kau! Aku nak kau gugurkan anak tu nanti!" berliter-liter liurnya tertelan mendengar arahan berbaur ugutan itu. Subhanallah!

Dia memang tak pernah terfikirkan akan hal itu. Kalau benarlah dia mengandung, apa yang perlu dia lakukan? Dia belum bersedia. Untuk menghadapi semua ini. Untuk menghapuskan anugerah teragung dari Allah ini memang dia tak akan sanggup.

Wajah itu bertukar pucat. Tidak semena-menanya air mata itu merembes laju keluar. Dia buntu! Memikirkan apa yang harus dia lakukan? Ya Allah, tunjukkanlah jalan buatnya. Suluhkan jalan yang terbaik buatnya.


Tolonglah ya Allah. Tolonglah. Aku begitu mengharap kepadaMu.

2 comments:

  1. Aduhai...malang nyer nasib erma..
    geram..gerammmm yg amat kat laki dia
    **siapa watak utama erma or tisya**

    ReplyDelete
  2. Gulp....sadis sungguh kehidupan Erma.
    Harap ada sesiapa yg sudi bantu dan tolong Erma nanti. ;_______;

    ReplyDelete

Assalamualaikum.
Anda dah baca smuanya? Sila-silalah komen, ya.
Beri pendapat mahupun penambahbaikkan.
Terima kasih.
Kerjasama anda, amat saya hargai.

Copyright© All Rights Reserved silencernovel.blogspot.com