BERSENDIRIAN di shopping complex One
Utama ini tidaklah terlalu membosankan. Bukannya kerana di sini terlalu banyak
perkara yang menarik perhatiannya tetapi ianya lebih kepada dirinya. Laluan
orang di kanan dan di kirinya, tidak dipedulikannya sama sekali. Tumpuannya lebih
terarah kepada telefon bimbitnya.
Sedari tadi
senyuman tidak lekang dari bibirnya. Dari satu ke satu, perbualannya diperhati.
Nurin oh Nurin. Marah sungguh dia. Ini semua gara-gara dia yang dah ceritakan
tentang Hairil kepada gadis itu. Alahai. Kenapalah mulutnya terlalu lancang
sangat? Inilah yang dinamakan kerana mulut, badan binasa.
Teks
terakhir dari Nurin ditenung Liyana. Sedang berkira-kira dirinya ingin membalas
kata-kata itu. Hakikatnya, dia bagaikan mati akal bila berdebat dengan gadis
ini. Apa yang mahu dia luahkan jikalau awal-awal lagi katanya dah kena bangkang
dengan Nurin. Jarinya masih ligat menari-nari pada papan kekunci. Ingin ditekan
butang hantar, perbuatannya terhenti di situ sahaja. Teks itu dipadam. Ditulis
lagi dan padam lagi.
Liyana hembuskan nafas.
Perlahan dan teratur. Baru jarinya ingin disambung menulis, ada panggilan masuk
menganggunya. Liyana hulur senyuman seraya tangan ringan sahaja swipe ikon hijau itu.
“Hello?” Liyana tarik
senyum. Bersedia untuk kena bebel.
“Hello?” dah seminit dia
tunggu tapi suara yang ditunggu-tunggunya tetap tak muncul-muncul. Dah mati ke?
Skrin telefon itu dijarakkan sedikit dari telinganya. Panggilan itu masih belum
dimatikan.
Dilekapkan kembali telefon
itu ke telinganya. Pelik! Dah hilang suarakah kawan aku yang sorang ini? Sedari
dia, apa yang menjadi santapan telinganya hanyalah hembusan nafas gadis itu.
“Nurin?”
“Seronok dapat mainkan
perasaan orang?” lain yang Liyana jangka, lain yang Nurin soal. Ingatkan dia dah
kena sembur tadi.
“Aku ingatkan kau dah bisu
tadi,” Liyana cuba berseloroh. Tak nak serius sangat.
“Aku serius, babe.” Nurin membetulkan tanggapan
Liyana padanya. Bermakna dia tak main-main dalam kes ini.
Liyana garu kepalanya.
“Aku pun serius.” Akibat
tidak mahu kalah, Liyana juga turut sama menjawab benda yang serupa.
“Look, Yana! Stop this game! Aku sama sekali takkan setuju
dengan apa yang kau buat ni!” Liyana mengeluh. Dah agak. Ini tak lain tak bukan
mesti kes Hairil. Apa nak buat? Terlajak perahu boleh diundur namun jika terlajak
kata? Membawa padah yang pastinya. Kini segalanya sudah terbongkar. Dia sudah
memberitahu gadis itu tentang rahsianya dari mula hingga kini.
“Aku tak mintak restu kau
pun. Aku cuma..mintak kau faham dengan keadaan aku. Itu aje.” Jelas Liyana masih
lagi mengekalkan kelembutan pada suaranya agar tidak kedengaran terlalu tegas
dan garang. Dan di kala itu juga, terdengar rengusan di hujung sana. Liyana
semakin cuak.
Ah, sudah! Mengamuk ke
budak ni?
“Aku dah cukup faham, Yana!
Sebab aku fahamlah aku sentiasa ada kat belakang kau. Tak perlu nak berdendam
segala. Let her be! Kau dah ada
kehidupan kau, buat apa kau nak rumitkannya lagi? Lainlah kalau kau masih ada
perasaan kat Mustafa tu lagi.” Tempelak Nurin selamba. Geram sebenarnya bila
Liyana seakan berdegil dengan keputusannya. Bukan niatnya ingin kontrol kehidupan rakannya itu, tetapi
tindakan Liyana itu sungguh dia tak dapat terima. Melampau.
Tidak boleh dibiarkan.
Kalau dibiar makin menjadi-jadi minah tu.
“Aku tak suka Marlia! Kau
tahu banyak mana dia dah lukakan hati lelaki kat luar sana? Kesian kat
diaorang, tahu tak!” penuh emosi Liyana menjawab. Lagaknya bagaikan dialah
pembela lelaki-lelaki di dunia ini sahaja.
“Hello! Kau tu pun lebih
kurang aje dengan dia. Tiga temu janji kau tu? Nak campak kat mana? Bukan kau
pun buat benda yang sama ke?” Liyana kelu.
“Aku..aku..aku..” Tengok! Dah
tak pasal-pasal segala katanya tergagap-gagap dibuatnya bila kena sembur begitu.
Nurin tarik nafas. Dalam keadaan begini, marah bukanlah penyelesaian yang
terbaik buat rakannya itu.
“Liyana..please. Apa yang kau buat ni tak ubah
macam dia. Jangan samakan dia dengan kau. Look..
apa yang kau dapat kalau kau buat macam tu kat dia? Nothing worth! Kau cuma sakitkan diri kau sendiri aje. Sedangkan
dia? Dia tak rugi apa-apa. Kau ingat bila kau pikat si Hairil tu, si Marlia tu
kisah? Hey…dia pun ada banyak calon lagilah instead
of Hairil.” Liyana tarik nafas dalam-dalam. Geram pulak bila kena tuduh
macam tu. Dia tak samalah dengan si minah tak guna tu bahkan dia memang takkan
sama!
“For your information, cik Nurin, aku tak lukakan hati sesiapa pun.
Konsep tiga temu janji aku tu hanya setakat di situ. Aku tak lukakan
sesiapa.Aku tak paksa sesiapa. In fact,
aku tak cari diaorang, diaorang yang datang kat aku. Mintak tiga temu janji,
dan aku terima. No hard feelings.”
Ucap Liyana selamba.
Nurin mengeluh. Tidak
menyangka, Liyana akan terikut-ikut dengan filem itu. Apa punya kuat pengaruh
ni? Tak sangka Liyana akan bertindak seserius ini. Dia sendiri tidak pernah
terfikir untuk mengikut jejak langkah filem begitu. Drama sangat.
Liyana oh Liyana..berat
sungguh kawan aku yang sorang ni.
“Apa-apapun tetap salah,
Yana. Kata kau, no hard feeling. Kata
diaorang? And yet.. apa yang kau buat
semua ni, pernah kau terfikir perasaan orang? Aku tahu kau nak balas dendam
pada Marlia tu, tapi kenapa kau perlu lukakan hati orang lain? Apa kaitan
diaorang dalam hidup kauorang berdua?” bersungguh-sungguh Nurin memberi
nasihat. Kali ini dia harap sangat Liyana terima nasihatnya. Acap kali sudah
dia bercakap dengan tunggul. Yang ruginya hanya lah dia sebab asyik dia aje
yang membazir air liur.
“Tapi..aku cuma nak pinjam dia untuk sementara
aje. Tak ada kaitan pun dengan konsep tiga temu janji aku tu. Tujuan aku sebab
nak sakitkan minah tu aje. Aku memang betul-betul nak beri dia pengajaran. Biar
dia tahu macam mana perasaannya bila disakiti. Selama ni, dia sorang aje yang
selalu sakitkan hati orang..sekarang, giliran dia pulak.”
“As I said…perasaan Hairil bagaimana? Siapa nak jaga?” Liyana
termangu sendiri dengan persoalan itu.
“Plus.. Mana kau tahu sasaran Marlia tu Hairil?” Liyana diam sekali
lagi dengan soalan Nurin..
“Aku..aku nampaklah. Depan
mata aku ni..dia nak try Hairil. Aku
pun teruslah nak celah. Nak halang jalan dia. Nanti bila aku dah dapat Hairil,
tahulah apa aku nak buat dengan minah tu. Aku akan buat dia menangis tak
henti-henti nanti.” Yakin benar Liyana berkata. Azamnya begitu kuat tersemat
dalam minda. Tak kira apa yang jadi, dia akan pastikan Marlia akan menyesal
dengan apa yang dia dah buat.
“Takkan keluarnya air mata
minah tu.”
“Huh?” terjengil sedikit
biji mata Liyana bila dengar komen mendatar Nurin. Bersungguh-sungguh dia
bocorkan rancangan sulitnya kepada Nurin, akan tetapi boleh pulak si Nurin ni
cakap macam tu. Memang meruntuhkan semangat betullah.
“Yelah..kau ingat dia
memang dah tangkap cintan sangat ke dengan si Hairil tu? Eh, dia takkan
menyesallah kalau kau rembat Hairil. Hairil tu bukannya superstar bagai or even millionaire
sampaikan dia perlu menangis air mata darah sekalipun. Lagipun..dia banyak
lagilah calon-calon yang hot untuk
dia cari. Tak tercalarnya maruah dia kalau kau dapat Hairil tu.”
Liyana dah ketap bibir.
Hatinya cukup panas bila Nurin dah buat andaian bagaimana penghujung kisahnya.
Dia tak suka!
“Kau..kau mana tahu minah
tu tak tangkap cintan dengan Hairil? Dia lagi tercabarlah kalau aku cuba kacau line dia..sebab dia sedar aku ni musuh
nombor satu dia.” Nurin kerut dahi. Apa kena dengan minah ni?
“Oh..tolonglah.” lagi bulat
mata Liyana. Kakinya dihentakkan ke lantai spontan. Sakit hatinya bila Nurin
tidak berikan sokongan padanya.
“Hairil tu handsome kau
tahu. Walaupun dia bukan anak datuk, tan sri or whatsoever sekalipun..dia ada harga diri yang tinggi! Kau ingat
senang ke untuk aku nak dekat dengan mamat tu? Dia punya hati..keras macam
batu! Bukan calang-calang perempuan dia akan tegur tahu? Dan..yang paling
penting dia bukan seorang yang mudah
layan perempuan tau.” Tanpa sedar Liyana sebenarnya dah puji lelaki tu.
Pujian itu bukanlah dari mainan kata-kata tetapi tulus dari hatinya. Ni..kalau
Hairil dengar..huh! Mahu kembang hidung dia empat belas inci.Ya ke? Mamat
berhati batu macam tu, tahu ke macam mana perasaan bangga?
“Habis..macam
mana kau boleh dekat dengan dia?” bibir tarik senyum. Dadanya seakan boleh
bernafas lega balik.
“Inikan.. Liyana. Mana
boleh nak lawan dengan godaan aku.” penuh lagak gadis itu berkata. Gayanya
bercakap ibarat Hairil itu bagaikan sudah hampir-hampir ada dalam gengaman
tangannya sahaja.
Nurin mengeluh..
“Kalau kau tahu Hairil tu
macam tu, kenapa kau perlu mainkan perasaan dia sampai macam tu sekali? Dari
gaya kau, aku dah boleh agak kau cuma nak gunakan dia. Liyana..janganlah jadi manusia
yang tak punya belas ehsan dalam hati. Jangan lukakan hati orang.” Gelak kecil
Liyana terlepas di hujung kata-kata Nurin.
“Don’t worry. Aku takkan sia-siakan dia.”
“Kau cakap macam yakin.”
Celah Nurin geram.
“Memang aku yakin! Lagipun..alang-alang
lelaki tu handsome, tak salahkan kalau aku try
test market aku?” mata Nurin
membulat dengan kata putus itu. Biar benar ni?
“Kau serius?”
“Tak!” Liyana gelak. Sakit
pulak hati Nurin yang mendengarnya.
“Aku tak sukalah kau jadi
macam ni, Yana. Mana hilangnya sifat lemah lembut kau dulu? Apa yang aku nampak
kau dah jauh berubah lepas kejadian tu. Stoplah
berdendam dengan orang. Tak ada faedahnya. Kalau cari kepuasan memang sampai
bila-bila kau takkan dapat. Kepuasan yang sebenar-benarnya yang kau akan jumpa
adalah bila kau belajar untuk memaafkan orang. Jangan samakan kau dengan Marlia
sebab kau jauh lebih baik dari dia.” banyak-banyak nasihat yang Nurin bagi,
bagaikan tak ada satupun yang melekat di telinga Liyana.
“Okey! Aku janji..it won’t be long. Sekejap aje..”
“Kau memang tak fahamlah
apa yang aku cakap ni, Yana. Jangan fikir perasaan kau aje. Fikirkan perasaan
orang lain. Perasaan Hairil? Hah.. Atau perasaan awek dia ke?” baru nak bangkang, bicara Liyana dah mati. Terkedu
habis bila Nurin bangkitkan tentang hati banyak orang ni. Paling menarik
perhatiaannya adalah kata-kata ‘awek’
itu.
“Kau dengar tak apa aku
cakap ni, Yana?” baru Liyana nak jawab, matanya nampak kelibat seseorang yang
sedang menghampirinya. Kalut sungguh Liyana bila nampak wajah itu. Tanpa kata
apa-apa, Liyana dah matikan talian itu spontan.
Maaf, Nurin.
“Wow.. Tak sangka kita
dapat jumpa kat sini. Adakah ini namanya..destiny?”
Jadi geram pula dia bila dengar suara yang menjengkelkan itu. Entah macam mana
boleh muncul minah malaun tak cukup kotex ini. Di mana dia ada, pasti akan ada
juga minah ini.
“Destiny tengkorak kau!” Liyana tergamam sendiri. Dari mana
datangnya perkataan buruk ini? Ah! Ni mesti dah berjangkit dengan Hairil.
Hari-hari dengar dia kutuk aku dengan ayat ni, kang tak pasal-pasal dah melekat pada dia. Aduhai.
Marlia gelak. Sinis sungguh
bunyinya.
“How’s your life?”
“Jangan berlagak macam kita
kawanlah. Naik loya aku dengar.” Marlia buat mimik muka terkejut.
“Loya? Kenapa? Perut you
dah ada isi ke?”
“Apa benda kau mengarut ni?
Aku tak sekotor kaulah.” Dihamburnya bersahaja. Suhu kemarahan Liyana dah lebih
tahap kesabarannya bila dirinya ditempelak selamba oleh betina ini. Marlia
pandang gadis itu sinis. Dijeling dengan hujung ekor matanya sahaja. Makin
biadap perempuan ni!
“Kotor-kotor aku pun, tak
adalah sampai mengandung.”
“Lebih baik mengandung dari
gugur.” Giliran Liyana menempelak Marlia pedas. Nak kasi kaw-kaw dia tak ada ayat sangat. Lantas, setakat itu aje yang
sempat dia hambur.
“My goodness.. Jadi betullah?”
“Betul apa?” marah benar
Liyana. Suaranya makin lama, makin naik. Tak guna dia nak berlembut dengan
spesis Marlia ni.
“You mengandung anak
siapa?”
“Mulut jangan nak celupar
sangat, Marlia!” tubuh tegak berdiri, memanah pandang pada sepasang mata coklat
itu. Kesabaran Liyana punya tahapnya sendiri. Jangan sampai dia hilang sabar,
kerna bila itu terjadi dia tak pasti lagi sama ada kompleks One Utama ni masih
bernyawa atau tak.
“Janganlah marah..Orang
kata makin marah makin berkedut muka. Bila dah berkedut, tak tahulah aku nak
cakap apa. Muka entah ke mana, boyfriend entah ke mana. Opss.. Sorry! Lupa yang
kau tak pernah ada..”
“Aku ada lah!” sindiran itu
tak mampu Liyana nak lindung lagi. Hajat asal nak buat Marlia sakit hati sudah
bertukar dengan dirinya yang menjadi pengganti.
“Oh, jangan nak tipulah!
Mana orang boleh tahan dengan kau..huh..kali terakhir pun kau sendiri yang kena
reject kan? Ada hati nak buat tiga
temu janji konon? Kau ingat kau pelakon? Berlagak jadi Yana Shamsuddin ke apa?”
terbakar hati Liyana. Lagi-lagi bila dia dengar gelak tawa gadis itu.
Menyibuk sungguh Marlia
dengan dia. Hal lama juga menjadi ungkitan gadis itu. Faham sangat dengan makna
‘reject’ tersebut. Pasti dia
maksudkan dirinya dan Mustafa. Namun, dalam pada itu, kata-kata Marlia yang
lainnya buat Liyana tercengang sendiri. Tiga temu janji? Liyana diam. Lama.
“Mana kau tahu semua ni?
Tentang tiga temu janji..” baru dapat memproses semula kata-kata Marlia. Dia
baru sedar, tiada sesiapa tahu tentang dirinya yang menjalankan aktiviti itu.
Melainkanlah Nurin. Mustahil kalau Nurin yang menjadi pelapor untuk minah ni.
Apa yang dia dapat kalau berbuat demikian? Lagipun, dia memang percayakan
Nurin.
“Kau stalk aku?” teka Liyana. Ternyata, tembakannya hanya membuahkan
ilai tawa dari Marlia.
“Buat apa aku nak stalk kau kalau aku sendiri yang tahu
macam mana nak kenakan kau? Macam mana? Kacak tak ‘ex’ yang aku bagi kat kau pagi tadi?” membulat mata Liyana. Jadi
lelaki di kedai makan pagi tadi tu..lelaki upahan Marlia ke? Dah agak! Ini yang
Liyana fikirkan masa pagi tadi. Sudah dia dapat agak siapa gerangan mastermind akan permainan kotor itu. Marlia
sudah gelak sakan bila nampak wajah bingung itu.
“You’re so naive, Yana. Nak jadi player
macam mana kalau kau mudah kena tipu ni?” sukar untuk Liyana gambarkan ketika
ini apa perasaannya. Terlukakah? Kecewakah dia? Liyana menggeleng tak sudah.
Dia langsung tak sedar
bahawa dia telah kena tipu. Tipu hidup-hidup pulak tu. Macam mana dia boleh tak
tahu benda ni?
“Kau memang tak guna, Lia!
Dari awal sampai akhir, aku memang tak pernah menyesal untuk buang kau! Kau
memang kawan tak guna! Aku akan pastikan kau menyesal!” pelukan di tubuh
bersama jelingan matanya tampak sungguh tenang. Semakin membakar hati Liyana.
Gadis itu bagaikan sedikitpun tidak tercuit dengan kata-kata berbaur ugutannya
itu.
“Apa yang kau boleh buat,
Yana?”
“Jangan ambil mudah sangat!
Kau belum kenal aku siapa.” Azamnya semakin kuat. Bebelan-bebelan panjang Nurin
padanya tadi lenyap begitu sahaja. Dia tak mahu fikirkan apa-apa lagi. Apa yang
penting..dia perlu dapatkan Hairil! Yes!
Takkan dia lepaskan lelaki itu begitu sahaja. Hairil harus menjadi miliknya.
Tak kira apa cara sekalipun dia akan buat Marlia menyesal!
“Apa kau boleh buat?”
“Tunggu dan lihat ajelah. Game baru nak mula.” Giliran Liyana
menyinis. Bukan senang dia mahu menerima peluang itu. Selama ini, asyik dia
yang makan hati dengan kata-kata sinis gadis itu.
“Oh..kejap. Takkanlah..kau
nak ugut aku dengan Hairil kut?” baru
nak mendabik dada, dadanya dah kecut. Muka baru nak angkat, dah kendur balik.
Semuanya sebab kata-kata Marlia itu. Macam mana dia boleh teka dengan tepat?
Yang paling penting..mana
dia tahu yang aku sedang mendekati Hairil? Oh! Kelab golf. Baru teringat.
Liyana rasa nak hantuk-hantuk aje kepalanya ke dinding. Semuanya dah kantoilah
ni. Aduh.
“Kenapa? Terkejut?” obvious sangat ke? Liyana buat riak
biasa. Selepas ini dia memang kena belajar cara-cara buat mimik muka. Riak
wajahnya terlalu jujur untuk dipandang orang.
“Aku akan pastikan Hairil
milik aku.” ugutan apakah itu? Sungguh lemah bunyinya. Macam menjerit bawah
selimut. Tak pasal-pasal dia kena gelak. Lawak sangat ke sampai-sampai berair
hujung mata minah tu?
“He’s not even my type..” sungguh angkuh Marlia menjawab sambil
tubuhnya dipeluk kemas. Pandangannya pada Liyana masih tidak berubah. Sinis
sekali.
Liyana pula turut ikut sama
dengan senyuman itu. “Ingat aku nak percaya?” kata-kata itu hanya mengundang
tawa sinis dari gadis itu sahaja. Tenang sekali wajah Marlia tatkala pandangan
antara mereka bersatu.
“Terpulang pada kau. Tapi, since..kau dah move on. Ianya tetap akan jadi masalah aku.” Liyana kerut dahi.
“Apa maksud kau?”
“Bermimpilah kau, Liyana.
Kau ingat aku nak duduk diam aje? Aku akan bagitahu dia tentang perangai buruk
kau tu. Aku akan pecahkan rahsia tiga temu janji kau. Kau rasa macam mana
reaksi dia? Dia masih nak layan kau ke? I
bet..dia mesti rasa tertipu. Cuba kau bayangkan.. macam mana reaksi dia?”
Liyana cuba tayang wajah tenang. Wajahnya aje tampak tenang dan baik tapi hati
usah dicakaplah bagaimana. Gentarnya terasa sampai ke lutut. Takut sungguh dia
jika apa yang dikatakan Marlia itu benar-benar terjadi.
“Huh! Kau ingat Hairil nak
percaya cakap kau?” yes! Good point,
Yana! Sorakan dalam hati mati begitu sahaja bila Liyana dengar Marlia gelakkan
dirinya.
“Dengan aku mungkin
tak..tapi kalau dengan lelaki tiga temu janji kau tu? Kau rasa dia masih tak
percaya?” berubah terus wajah Liyana.
“Kau dah lupa apa jadi
siang tadi?” tambah Marlia lagi. Liyana telan liur. Rasa darah menyerbu ke
muka.
“Itu adalah lakonan pertama
khas dari aku untuk kau tengok. Aku tahu kau tak kenal malah tak pernah jumpa
lelaki siang tadi itu. Sayangnya…Hairil dah kenal. Hairil must thought that, that guy was your ex right? Segalanya akan
berakhir, Liyana. Gigit jarilah kau lepas ni.” Mati terus bicara seterusnya.
Tidak mampu dia suarakan lagi apa yang terbuku. Benar kata Marlia. Segalanya
akan berakhir.
Entah kenapa dada Liyana
disapa debaran yang menggila. Dia betul-betul takut dengan andaian mindanya
sendiri. Dia kenal siapa Marlia. Apa yang dia cakap pasti benar-benar akan dia
kotakan.
Terus..apa akan jadi pada
hubungannya dengan Hairil?
“Ah..kesian kat kau. Game baru nak mula? Ha ha.. So sorry, dear. Game kau terlalu senang untuk aku. It’s okey. Lain kali cuba lagi.” Bahu Liyana ditepuk Marlia sebelum
langkahnya menghilang di sebalik puluhan manusia di sini.
Liyana raup muka. Baru aje
dia kena ceramah dengan Nurin tadi untuk tamatkan semua permainan ni dan
sekarang adakah ini petanda bahawa semuanya akan berakhir? Hubungannya dengan
Hairil pastikan akan tercetusnya sebuah titik noktah antaranya. Liyana
menggeleng.
Rasa terlalu awal kalau dia
tamatkan antara hubungannya dengan Hairil. Rambut disebak ke belakang dengan
telefonnya melekap ke telinga. Talian yang mahu bersambung tidak berjaya
akhirnya pabila voicemail masuk
menyapa telinga.
Tak boleh jadi ni. Duduknya
pula semakin tidak tenang dibuatnya. Lantas, Liyana tarik beg tangannya sebelum
beredar dari situ. Dia perlu cepat!
