Pengikut Setia.. XD

Wednesday, 3 June 2015

Novel Liyana Bab 16



JEJAK langkah pertama dah laju macam kilat. Masuk sahaja terus butang lif ditekan untuk naik. Bibir bawahnya digigit. Gusar hati usah dia cerita bagaimana kisahnya. Betapa gentar dirinya, hanya dia yang tahu. Dia langsung tak dapat bayangkan apa yang akan jadi seterusnya. Tak dapat dia sendiri nafikan yang dia sememangnya takut.

Ting!

Tanpa berlengah, meja Salwa dirapati. Salwa yang nampak kelibat Liyana spontan berdiri tegak.

“Cari Encik Hairil?” seperti sudah sedia maklum dengan kedatangan gadis itu, ringan sahaja mulutnya bertanya. Yalah, boleh dikatakan semenjak ini Liyana sudah menjadi tetamu wajib untuk Hairil.

Liyana cepat-cepat angguk akan pertanyaan itu.

“Dia ada dalam bilik.” Tanpa apa-apa appointment dibuat mudah sahaja Liyana lepas. Mungkin kerana dia sudah digelar teman istimewa Encik Hairil agaknya oleh semua staf-staf di sini.

Selangkah berjalan ke depan, Liyana patah balik. Wajah Salwa dicari.

“Dia..okey ke?” teragak-agak Liyana bertanya. Salwa sengih sebelum menjawab perlahan.

“Tak berapa, cik Liyana.” Liyana malas nak tanya lebih. Kalau ikutkan hati nak aje dia tanya lagi sebab apa? Bila marahnya tu? Tapi, semuanya tak kesampaianlah pulak. Pintu bilik dikuak dari luar. Jangan dirinya dicop Hairil sebagai biadap sudahlah! Dia dah ketuk banyak kali cuma Hairil tak menyahut. Kuakan pintu itu semakin diluaskan. Nampak Hairil yang duk tenung dia.

Rasa pelik yang bertandang dibuang jauh-jauh. Pandangan Hairil agak menyeramkan. Bulu romanya menegak tanpa sebab. Seram sejuk Liyana dibuatnya. Ketukan jari di meja kerja menjadi lantunan irama antara mereka.

Liyana sempat tayang sengih sebelum masuk dan penuh selamba punggungnya dilabuhkan di atas sofa. Liyana angkat muka. Berderau darahnya menyerbu ke muka. Pandangan tajam Hairil padanya membuatnya jadi tak senang duduk. Apa yang perlu dia buat sekarang ni?

“Tahulah cantik..tapi tak payah tengok saya macam nak ngap. Sabarlah. Dah tak tahan sangat ke? Itulah..orang ajak kahwin tak nak.” Liyana berlagak seperti biasa. Umpamanya tak ada apa-apa yang berlaku. Wajahnya diriakkan setenang mungkin.

“Siapa lelaki yang kita jumpa pagi tadi?” kening Hairil terangkat bersama soalan itu. Rasa kelat pulak air liur Liyana. Nak telan pun susah.

“Awak..awak cemburu ke?” mata tajam Hairil dibuat tak nampak. Hakikat perasaan takutnya diusir jauh-jauh.

“Siapa Khairil?” buntang mata Liyana. Pulak dah! Mana Hairil tahu nama si mamat arang tu? Ni tak lain tak bukan mesti mamat tu dah datang sini, tadi. Liyana menghela nafas berat. Apa dia nak buat ni?

“Aku tanya Yana! Siapa Khairil? Apa hubungan kau dengan dia? Dan..apa tujuan kau datang kat aku?” Liyana makin kalut. Serba serbi tak kena padanya. Dia nak jadi minah poyo dah tak boleh. Liur ditelan lagi. Soalan bertubi-tubi dari Hairil tiada satupun berjaya Liyana jawab.

Liyana yang dulu bukan dah macam Liyana yang sekarang. Taring gediknya sudah hilang bila tengok wajah tegang Hairil.Saat itu, dia sudah tahu. Lakonan kedua sudah Marlia jalankan. Dan lelaki siang tadi adalah bernama Khairil. Entah cerita yang bagaimana dicanang oleh lelaki upahan tak guna minah itu. Liyana semakin cuak.

“Dia cakap apa pada awak?”

“Itu tak penting!” Liyana angkat kening.

“Penting! Penting untuk saya tahu setakat mana awak tahu?” Hairil senyum sinis.

“Kenapa kau nak tahu? Supaya mudah untuk kau putar belitkan fakta lagi? Kau cakap apa kat aku dulu? Kau nak kahwin dengan aku untuk buat dia jealous? Huh..” Hairil sudah berdiri tegak sambil mencekak pinggang. Gerun Liyana melihatnya. Kali pertama dia melihat wajah tegang itu. Sebelum ini manakan pernah matanya disajikan dengan ruangan wajah seperti itu.

“Kenapa diam? Kenapa tak jawab?”

Liyana telan liur.

“Betul?” soalan Hairil masih lagi sukar untuk Liyana jawab. Nak jawab bagaimana kalau dia sendiri tak tahu dari mana mahu mulakannya?

“Aku tanya..jadi ini semua..betul?” suara itu dapat Liyana dengari malah dapat dia kesan akan getarannya. Semakin Liyana takut untuk menghampiri lelaki itu. Tubuhnya dikecilkan di sofa tersebut. Saat itu ringan sahaja kakinya ingin keluar dari kamar ini. Sudah tidak sanggup berlamaan di sini.

“Kenapa tak jawab?” membulat mata itu seiring dengan soalannya.

“Hei!! Pantang betul aku bila ada orang tipu aku!” Ah, sudah! Liyana dah macam nak bangun tapi cuma tak kesampaian aje. Tapi, kalau Hairil main tengking macam ni tak mustahil dia akan cabut nanti. Tanpa sedar, peluh renik terpancar di dahi.

Hembusan nafas kasar kedengaran. Tak lama lepas tu, bunyi kerusi pula ditendang lelaki itu. Liyana ketap bibir. Dadanya dipalu dengan paluan kencang apatah lagi setelah dirinya mendapati bunyi jejak tapak kasut lelaki itu. Sangkaannya ternyata benar-benar tepat! Hairil kini sudah duduk berhadapan dengannya. Liyana tunduk sikit wajahnya.

Gerun melihat wajah bengis itu.

“Apa kau nak dari aku?” kali ini suara itu lebih tenang tapi tegasnya tetap ada. Muka Liyana ditenung geram. Resah gelisah wanita itu langsung tidak berjaya mencuit hatinya. Rasa geramnya masih terbuku di dalam hati. Langsung dia tak percaya bila Liyana sanggup buatnya begini.

Dia yang dengar semua penjelasan Khairil itu hampir terlopong luas. Rasa macam diperbodohkan! Tiga temu janji? Apa semua ni? Argh! Semua ini memang mencabarnya. Rasa tertipu pun ada. Liyana, kau memang nak kena!

“Okey..Apa yang awak nak tahu?” masih berlagak tenang Liyana menyoal. Dia benar-benar ingin menjelaskan semuanya. Sungguh!

“Aku tak nak tahu apa-apa. Apa aku nak sekarang cuma satu. Kau keluar! Jangan kau datang lagi, jumpa aku!” putus Hairil membuatkan Liyana menganga. Kepalanya menggeleng.

“Tak adil! Ini berat sebelah. Awak fikirkan perasaan awak aje. Habis saya, awak nak campak kat mana? Rasa rindu saya siapa nak tanggung? Awak mana boleh buat keputusan berat sebelah macam ni!” Hairil kancing gigi. Lagi Liyana buat perangai.

“Liyana..kau perlu tahu satu perkara. Aku bukannya seorang yang mudah untuk mencintai seseorang dan aku bukannya bodoh dan miang untuk menempel dekat mana-mana perempuan.”

“Itu saya tahu! Sebab itulah saya menempel dekat awak, sekarang ni.”

“Kau tak faham-faham lagi ke? Aku takkan pernah terjebak dalam tiga temu janji bodoh kau tu! Kau ingat kau siapa? Huh? Aku bukan calon-calon lelaki yang mudah diperbodohkan macam tu.” Liyana pejam mata. Aduhai. Berat ni.

“Siapa cakap antara kita terikatnya tiga temu janji?”

“Huh?” Hairil tercengang sendiri. Baru tersedar tentang hal itu. Memang antara mereka tiada sebarang ikatan perjanjian.

“Awak tak nampak ke saya serius sekarang ni? Tak nampak saya tengah kejar calon suami saya sendiri! Ini bukan tiga temu janji tapi misi untuk dapatkan cinta sejati.” Hairil terkedu sendiri. Liyana dah buat balik!

Hairil kembali menggeleng. Tak! Dia takkan tertipu lagi dengan permainan perempuan seperti Liyana! Perempuan player macam ni, otaknya ligat aje cari idea.

“Apa-apapun, baik kau pergi. Aku tak nak jumpa kau lagi.” Wajah Liyana berubah.

“Hairil! Awak tak boleh buat saya macam ni. Listen! Saya akan explain kat awak. From awal sampai akhir. Takkan miss walau satu sekalipun.” Janjinya bersungguh-sungguh.

“Tak payah! Aku tak perlukan semua tu!” dada Hairil kian berombak. Kelakiannya terasa dicabar dengan sifat kedegilan yang dimiliki Liyana. Jelasnya, sekarang ini, kesabarannya memang kian menipis. Sejak dari Khairil datang lagi. Kenapa semua ini perlu terbongkar saat hatinya mula terbuka buat gadis itu? Dada Hairil berdebar kencang. Kata-kata apakah ini? Jujurkah?

Hairil hembuskan nafasnya perlahan. Kalau ianya kata-kata yang terlahir jujur dari hatinya, dia mahu buat apa? Semuanya sudah musnah. Bila sahaja dia dapat tahu semua ni hatinya terasa seperti disiat-siat. Sanggup Liyana tipu dia? Dia sudah serik! Dari dulu sampai sekarang kalau dia bercinta tak pernah nak berjaya! Semuanya gagal!

Bagi Liyana pula dia tidak sesekali melepaskan Hairil. Ini adalah peluang keemasannya. Tak akan sesekali dia akan membiarkan lelaki itu pergi dari dirinya. Liyana ketap bibir. Dia tak peduli, apa kata Hairil itu belakang kira. Kalau Hairil boleh berdegil dengan dia, kenapa tidak dia? Dia pun degilnya boleh tahan juga. Kali ini Liyana akan pastikan Hairil dengar akan semuanya.

“Khairil.. saya tak kenal dia. I was framed. Tapi, apa yang awak dengar dari dia tentang.. tiga temu janji and all that..”

Enough, Yana! Kau tak boleh berhenti ke? Kau tak faham lagi apa yang aku cakap tadi? Aku kata keluar! Keluarlah.”

“Tak nak! Awak kena dengar apa yang saya nak cakap ni, Hairil.” Masih tidak berputus asa Liyana mencuba lagi untuk menerangkan tentang hal yang sebenar.

Dum!!

Liyana terkejut. Mujur tak pecah meja kaca di depan dia. Kuat dentuman itu masih lagi terngiang-ngiang di telinga Liyana. Dadanya bergetar tak sudah, lagi-lagi bila dia tengok muka tegang Hairil.

“Aku kata keluar!” Liyana masih berdiri di situ. Tiada sebarang tanda-tanda dia mahu keluar. Melihat kedegillan Liyana semakin terbakar hati Hairil. Degil sangat kan? Mari sini dia tunjukkan jalan keluar!

Tangan Liyana ditarik Hairil kuat. Liyana tak mampu nak rentap dengan pegangan yang kuat seperti itu. Tangannya yang kecil tak berdaya nak melawan. Lantas, segala langkah Hairil diikuti Liyana sahaja. Bila tiba di pintu, ditarik tombol itu kuat. Kini pintu kamar Hairil ternganga luas. Salwa yang sibuk dengan kerja terhenti. Matanya terus sahaja pandang ke arah pasangan itu.

Baru Hairil ingin tolak tubuh Liyana menjauh darinya, suara Liyana pula yang menghalang.

“Tunggu..” tindakan Hairil mati.

“Jangan tolak saya. Saya malu.. saya boleh balik sendiri. Tak perlu nak tolak-tolak.” Spontan tangan Hairil jatuh. Kata-kata Liyana sedikit sebanyak berbekas juga dalam hatinya. Dia pun kalau boleh tak nak malukan sesiapa kerana dirinya bukanlah jenis seperti itu. Mata Liyana tegak ke depan. Nampak Salwa tak berkelip pandang ke arahnya. Liyana terkaku sendiri.

Kalau dia keluar terus, lagilah buat gadis ini curiga. Mesti Salwa cakap yang dia gaduh dengan Hairil. Tengok muka Hairil pun orang dah boleh agak yang dia gaduh dengan Hairil. Aduh! Malu besar dia kalau macam ni. Sudahlah orang anggap dia ni kekasih Hairil. Nanti kalau orang nampak dia keluar dalam keadaan macam ni, mesti orang cakap aku ni golongan kekasih bukan grade A. Kekasih yang bagus mestilah tahu macam mana nak redakan perasaan marah pasangannya. Ya! Betul kata mindanya. Sekarang untuk tutup segala andaian jahat orang-orang luar sana dia perlu bertindak!

Fikir Liyana. Fikir! Liyana tarik nafas. Hembus. Bila denyutan jantungnya beransur reda, dia berpaling menghadap Hairil balik. Senyuman terpamer di bibir. Dengan lembut, jari Liyana naik ke dada Hairil. Tali leher lelaki itu dibetulkannya.

Berlagak kononnya merekalah pasangan paling romantis. Oh, Tuhan! Tolonglah!

“Kerja baik-baik. Jangan nakal-nakal tau.” Bisik Liyana perlahan namun sudah cukup untuk Salwa dengar. Gadis itu pula yang berlagak terlebih aksi gulanya. Merah muka gadis itu. Macam dia pulak Liyana. Hairil dah terkedu habis bila tangan Liyana begitu selamba bermain di dadanya. Kenyitan mata gadis itu menamatkan segala-galanya.

Akhirnya Liyana berangkat pergi juga. Hairil tanpa banyak soal terus tutup pintu. Salwa sengih panjang sambil matanya tegak pandang pada lautan manusia yang sedang menanti berita darinya. Bersedialah semua!

Rancangan gossip Mak Kiah baru dah nak mula!



PULANG dari kerja, tak banyak Hairil boleh buat. Dia hanya mandi dan solat. Makan pun dia tak ada selera. Haih? Gaduh dengan Liyana dah buat hati gundah gulana ke? Ni nampak macam dah cinta kronik sangat ni. Hairil mencebik. Jangan nak mengada! Dia bukan tak ada selera tapi kenyang lagi. Sebelum pulang dia dah makan. Cuma..

“Huh..” keluhan terbit di hujung bibir. Lengannya dijadikan bantal sambil matanya tegak pandang ke depan. Mata aje pandang telivisyen tapi fikirannya dah ke lain.

Tutt.. Dengar aje deringan itu, pantas sahaja kepala Hairil berpaling. Tanpa dia sedar laju tangannya rampas telefon bimbit di sisi kanan katil. Buka dan..Hairil mengeluh lagi. Celcom ni tak reti nak duduk diam ke? Siang malam kerja!

Telefonnya dicampak balik. Kembali mata itu pada telivisyen. Remote telivisyen diambil. Segala jenis channel dia bukak. Semuanya tak menarik perhatian dia sampai-sampai tengok bola pun jadi tak semangat. Mata kalih ke sisi katil balik.

Telefonnya dicapai.

“Kenapa kau senyap sangat hari ni?” mata Hairil membuntang besar. Apa aku cakap tadi? Mulut akukah yang cakap benda bodoh macam tu? Bantal kecil dia ambil sebelum ditutup mukanya.

Ingatkan dah insaf tapi buat balik. Aplikasi whatsapp dia bukak. Nampak nama Gila! di skrin. Nama itu dia pilih. Tak sampai sesaat, semua perbualannya dan Liyana dibaca balik. Segala perbalahannya, tikam lidah bagai dia baca lagi. Ada kalanya buat Hairil senyum sendiri.

Bila kesemua dibacanya jari Hairil terhenti di satu sudut. Teragak-agak sebenarnya jarinya mahu menekan. Tapi, apakan daya..desakan hatinya memaksa. Gambar profile picture akaun whatsapp Liyana dia renung. Wajah bersih Liyana dipandang tak beriak.

Butang kembali ditekan. Baru nak keluar matanya terhenti pula pada status wanita itu.

Busy..tengah dating. :p

Hairil gelak spontan. Namun, ianya mati di tengah-tengah begitu sahaja. Tanpa sedar mata itu tidak berkelip merenung wajah putih bersih itu.

Liyana…


Satu nama itu..sungguh buatnya kecewa! Kecewa yang teramat dalam setelah peristiwa Qaseh meninggalkannya.

1 comment:

Assalamualaikum.
Anda dah baca smuanya? Sila-silalah komen, ya.
Beri pendapat mahupun penambahbaikkan.
Terima kasih.
Kerjasama anda, amat saya hargai.

Copyright© All Rights Reserved silencernovel.blogspot.com