“KENAPA dia tak hantar sendiri?”
“Encik Hairil cakap dia sibuk. Lagipun
dia ada meeting nanti sebab tu dia suruh saya yang hantarkan.”
Liyana merengus kasar. Sengaja tau,
Hairil ni! Rasa nak cekik-cekik aje mamat tu kalau ada depan dia sekarang.
Kunci keretanya dipandang tak berkelip. Sumpah, geram. Dia sengaja tinggalkan
kunci tu kat situ gara-gara nak Hairil hantarkan ataupun Hairil ambil dia untuk
pulang nanti. Tapi..plannya nampak tak menjadi. Sengaja betul lelaki tu nak
kenakan dia dengan suruh ofis boy dia yang hantarkan.
“Err..Kalau
tak ada apa-apa lagi, saya pergi dulu, ya?” baru Liyana sedar yang dia dah
abaikan lelaki ini, tadi. Aduh. Apa pasal kau jadi macam ni, Yana? Kesian kat
dia, terpaksa menjadi pak guard di sini.
“Oh, ya. Okey. Anyway, terima kasih ya?” Amin angguk. Cair sekejap dengar suara
lembut itu. Oh, itu ya Liyana? Patutlah satu ofis riuh tentang gadis itu. Yang
lelakilah paling semangatnya. Bercakap bukan main tentang gadis ni. Ternyata,
semua kata-kata mereka betul. Dia akui, Liyana memang cantik!
Kepala Amin menggeleng. Haih..Untunglah
bos aku dapat dia.
Pen yang tengah laju coretkan sesuatu
atas kertas terhenti. Dada Liyana turun naik. Matanya tak duduk diam sekali.
Sekejap pandang kiri, sekejap pandang kanan. Hih. Tak boleh jadi ni, Liyana.
Jangan biarkan dia kuasai kau. Sambung kerja cepat! Pen di tangan dikemaskan
sambil kerjanya masih belum ada tanda-tanda akan dihentikan buat masa ini.
“Argh!” serabut kepala Liyana. Nak buat
kerja pun rasa tak jadi. Geram punya pasal, beg tangan dibuka rakus. Telefon
bimbit dicari. Ketika itu, laju sahaja mata cari nombor lelaki itu. Butang dail
dia tekan. Jari diketuk-ketuk atas meja sementara menunggu panggilannya
berjawab.
“Hairil! Kenapa awak buat saya…”
“Maaf! Anda telah kehabisan kredit,
sila reload dan cuba sebentar lagi..”
membutang mata Liyana. Apa? Habis kredit? Buat malu aje.
Agak lama termenung, Liyana sudah
nekad. Mahu tak mahu dia tetap juga akan ke sana. Kunci kereta dicapai lekas
sekali dengan beg tangannya. Hairil benar-benar sudah melampau.
“Ada apa pulak ni?” berkerut dahi
Hairil tatkala menyoal gadis itu. Terkejut juga dia bila pintu kamarnya
dirempuh dari luar dengan agak kasar tadi. Liyana masih membisu, masih tiada
sebarang tanda-tanda mahu menjawab soalan lelaki itu. Dia lebih senang senyap
begini. Lagi bagus kalau Hairil menganggapnya merajuk. Oh! Kalau aku merajuk
sekalipun, nak ke lelaki tu pujuk?
Eloklah tu. Dua-dua merajuk, bermasam
muka. Maka siapa yang akan mengalah dan memujuk?
“Ikut suka hati kaulah.” Akibat geram
dengan kebisuan Liyana, Hairil sudah malas nak ambil tahu. Fail-fail atas meja
disemak buat kali terakhir.
“Nak pergi mana? Saya belum habis
cakap…” Hairil dah tinggalkan Liyana yang masih terkebil-kebil pandang pintu
itu. Lelaki tu nak ke mana? Tak sampai seminit lelaki tu masuk dalam pejabat
balik.
Liyana senyum. Tak sanggup tinggalkan
dia sorang-sorang kat sini lah tu. “Awak pergi mana?” hilang sudah rasa sakit
hati sebaliknya diganti pula dengan perasaan teruja. Hairil masih seperti tadi.
Cuma, sempat matanya menjeling Liyana.
“Awak nak ke…” belum habis ayat Liyana,
Hairil sekali lagi dah tinggalkan dia keseorangan di sini sekali lagi. “mana?”
sambung Liyana lemah akan kata-katanya yang tergantung tadi. Malangnya,
perkataannya yang terakhir tadi hanya tinggal perkataan kosong sahaja. Langsung
tidak memberi sebarang makna buat lelaki itu.
Liyana garu kepala. Bila ditinggalkan
sendiri di sini, rasa sunyi pula. Aduh! Silapnya juga kerana berdegil datang ke
sini padahal Amin dah bagitahu dia awal-awal tadi yang lelaki tu ada meeting. Nak
balik kerja Liyana rasa malas. Maklumlah syarikat kepunyaan sendiri kan? Opss!
Papanya punya.
Ruang kamar Hairil dipandang Liyana.
Bilik lelaki ini agak luas berbanding yang dia punya. Dia suka bilik ini!
Serius! Mungkin kerana dia rasa begitu selesa dengan dekorasi dan corak kamar
ini barangkali. Tambahan lagi, bilik Hairil kemas sekali dan cukup tenang..
Puas menilik ruang di sekitarnya,
Liyana kalih pandang ke dinding. Tak banyak yang menarik di situ. Punggung
diangkat dengan langkah perlahan-lahan menuju ke arah meja kerja lelaki itu.
Timbunan fail atas meja dipandang jemu. Tak sampai sehari dia berkerja untuk
hari ini, dia dah muak dengan semua ni. Kepala menggeleng. Kalau macam ni, baik
tak payah kerja.
Memang patut pun! Apatah lagi dengan
keadaannya sebagai perempuan. Tugasnya lambat-laun ke dapur juga. Bukan mahu
memperlekehkan perempuan tapi memang itupun niat Liyana. Hasratnya memang dia
mahu menjadi suri rumah sepenuh masa bila dah kahwin. Namun..apakan daya.
Sampai sekarang jodohnya tak seru-seru lagi.
Aduhai..
Tanpa mempedulikan benda-benda alah
itu, mata Liyana kalih pada gambar atas meja. Suatu kelaziman buat wanita untuk
menilik gambar-gambar apatah lagi kalau gambar itu merupakan gambar lelaki. Haha. Tak sempat nak renung dalam-dalam
mata Liyana dah bulat awal-awal. Foto itu ditarik rapat ke mata.
Apa ni? Dua Hairil? Tak berkelip mata
Liyana tenung dua jejaka itu. Oh! Ini mesti kerja edit punya. Tapi..gambar ni
tak macam mirror pun. Dua-dua membuat gaya freestyle
dalam foto ini. Mustahil nak edit! Lagipun..ini nampak macam gambar asli.
Dibiarkan foto itu sementara tangannya begitu ringan merampas foto kedua.
Gambar potret keluarga? Liyana gelak
tiba-tiba.
“Gambar sultan dan sulatanah yang besar
gedabak tu boleh pulak letak kat dinding, tapi gambar keluarga sendiri? Huh! Sayang nak
letak. Memang hati batu betullah mamat ni.” sedap-sedap aje Liyana kutuk
Hairil. Tak pasal-pasal lelaki tu tersedak dalam sana, karang. Liyana juihkan
bibirnya. Biar padan dengan lelaki tu. Pandai-pandai sangat tinggalkan dia
sorang-sorang kat sini.
Tapi, melihat gambar itu buat Liyana
tersedar sesuatu. Lagi dua Hairil? Haih..Takkan potret keluarga sendiri pun
gambar edit? Mustahil. Liyana makin musykil. Lelaki ni punya kembarkah?
Kalau ada kembar…mana satu yang Marlia
itu inginkan?
MASUK dalam bilik, Hairil dikejutkan dengan
tubuh Liyana yang sedang terlena atas sofa. Keluhan kecil terbit dari bibirnya.
Degil sungguh Liyana ni. Kiranya, gadis itu akan pulang bila dia ada mesyuarat
tadi. Fail di tangan disimpan elok atas meja sementara kaki mula mendekati si
gadis kecil molek itu. Wajah itu
ditatap tanpa jemu.
Tanpa sedar, jarak antara mereka kini
terlalu rapat sehingga hembusan nafas gadis itu dapat dirasainya. Dengkuran
halus Liyana menjadi irama antara mereka. Gadis itu tampak lena benar sehingga
kewujudan Hairil dalam keadaan sedekat inipun dia masih tak sedar. Hairil telan
liur. Bila duduk rapat begini dengan Liyana, rasa lain macam pula. Wajah putih
mulus gadis itu begitu menarik perhatiannya. Seketika keluhan kecil terluah di
bibir Hairil.
“Kenapa kau buat aku macam ni, Yana?”
bisik lelaki itu lembut. Marahnya masih belum reda. Dia memang tak boleh terima
bila ditipu begini. Lagi-lagi wanita itu adalah Liyana.
Begitu asyik matanya memandang gadis
itu, tanpa sedar tangannya seperti mahu mengelus rambut itu tapi cepat-cepat
dia sedarkan diri. Tak mahu keadaan bertambah buruk tubuh itu mula berdiri
tegak dengan mata yang masih setia pandang Liyana.
Dengan selamba kaki sofa ditendang
halus. Tidak kuat tapi sudah cukup untuk mengejutkan gadis itu dari tidur
panjangnya.
“Hairil?” Liyana yang masih mamai,
menggosok lembut kelopak matanya. Terpana Hairil dengan perlakuan yang
dianggapnya comel itu.
“Pergi baliklah kau.” Arah lelaki itu
tegas. Tubuhnya dihempaskan kasar ke kerusi. Pura-pura menunjukkan rasa
marahnya pada gadis itu. Fail atas meja dijadikan bahan lakonan demi
menunjukkan dia sedang sibuk berkerja ketika ini.
“Awak dah makan?”
Hairil tak menjawab.
“Jom makan sekali? Saya laparlah..dari
tengah hari tadi, saya tak makan lagi.” Adu Liyana. Hairil mencebik. Sajalah tu
nak mengayat aku. Ingat aku tak tahu dia tipu! Nak buat modal lah tu. Sorry! Kali ni dia tak akan layan.
“Tak nak ke? Jomlah..saya lapar sangat
ni..” kata-kata yang terluah dari bibirnya itu bukan sekadar dengan kata-kata
tapi itu memang nyatanya. Dia memang lapar ketika ini. Ketika dia keluar ke
ofis lelaki itu memang dia belum makan tengah hari lagi. Wajah Hairil dipandang
dengan seribu harapan agar lelaki itu bersetuju mahu makan bersamanya.
Sayangnya.. Hairil masih sibuk membelek
kertas kerja atas meja.
“Sibuk sangat ke?”
“Hurmm..” kasar sekali cara lelaki itu
menjawab. Liyana diam. Bibirnya digigit. Dia sedikit berjauh hati dengan
kata-kata lelaki itu. Walaupun telinganya sudah biasa dengan kata-kata seperti
itu namun entah kenapa Liyana jadi sensitif pula petang ini. Mungkin akibat dia
terlalu penat kerana lama menunggu lelaki itu tadi.
“Kalau macam tu tak apalah. Sorry ganggu.”
Sangka Hairil, Liyana takkan berhenti
setakat itu sahaja tapi semuanya ternyata memang tamat di situ. Liyana sudah
menghilang. Terkebil-kebil mata lelakinya pandang ke arah sofa itu kembali.
Anak rambut diselak ke belakang. Tiba-tiba, hatinya dipagut rasa serba salah.
Melihat wajah muram wanita itu, dia rasa kasihan. Ingatkan Liyana sekadar buat
perangai, tapi..
PERISTIWA siang tadi benar-benar menganggu lena
Hairul. Dicuba pejam mata seerat mungkin namun gagal. Kemudian, dicuba telan
pil tidur, tapi sampai sekarang pun macam susah pulak nak tidur. Apa kena ni?
Dia betul-betul telan pil tidurkah tadi? Lengan kiri diletak atas dahi. Ralit
sekali matanya merenung siling.
Keadaan
yang sedikit bingit itu seakan memanggil Hairil dari lamunan yang panjang.
Rengusan kasar terhasil di situ sebelum tangannya meraba ke sisi. Telefon
bimbitnya yang bergetar diminta untuk dijawab.
Hairul
Entah
kenapa terbit rasa kecewa di dada. Kepalanya terfikirkan orang lain tapi orang
lain yang muncul tapi mahu tak mahu panggilan itu tetap bersambut.
“Ada apa?”
“Assalamualaikum..” Hairil termalu
sendiri. Sapaan salam itu sekadar dijawab dalam hati.
“Kau tak tidur lagi?”
“Tak.”
“Kenapa?”
“Tak boleh tidurlah.”
“Kenapa?”
“Kau tak ada soalan lain ke nak tanya?”
Hairul gelak. Soalan demi soalan yang
ditanyanya terasa lucu pula bila diingat kembali.
“Kau gelak lagi. Gembira sungguh kau,
kat sana. Ada apa-apa progress ke?”
“Sibuk hal orang pulak.”
“Tak nak cakap sudah. Aku pun tak ingin
nak tahulah, weh.” Geram pulak Hairil dibuatnya. Dia sudah lah tak ada mood nak
bercakap. Soalan itupun dia tanya secara spontan sebab tak nak bagi kembarnya
itu tahu yang dia tak ada mood nak bercakap sekarang. Bimbang terasa hati pulak
abangnya karang.
“Okey. Aku gurau ajelah. Marah sangat
ni kenapa?” macam perempuan. Emosi tak menentu sungguh.
“Tak ada apa-apalah.” jawab Hairil
hambar.
“Aku sebenarnya nak cakap sikit dengan
kau.” Dilupakan terus pergaduhan kecil antaranya dan Hairil.
“Tak ada kerja lah tu.” bebel Hairil
geram. Seiring dengan kata-katanya, tawa Hairul kedengaran. Di hujung tawa itu,
bibirnya mengoyak secebis senyuman bahagia.
“Aku dah nak kahwinlah.”
“Huh?” terjerit kecil Hairil dibuatnya
dengan khabar berita itu. Tubuhnya automatik terus terduduk atas katil.
Terkebil-kebil matanya pandang ke depan. Dia tak salah dengarkah?
“Aku tahu kau akan jadi macam ni. Hey..chillah,
bro. Jangan buat muka pucat macam tu.” ucap Hairul selamba, seolah-olah dirinya
ada di depan mata Hairil. Hairil masih lagi terkelu. Bicaranya terasa sungguh
payah sekali.
“Kenapa macam terburu-buru sangat?
Kenapa tak nak tunang dulu?”
“Kau tak nak tahu dengan siapa aku
kahwin?”
“Buat apa nak tanya? Kau kan dah
beritahu aku siapa dia. Atau calon isteri kau kali ni orang lain?” Hairul
tergelak kecil.
“Tak adalah. Orangnya masih sama la.
Nampak tak betapa setianya aku?” Hairil mencebik geram. Nak jugak bagi kredit
pada diri sendiri.
“Kuat betul ingatan kau, kan? Aku tahu,
dengarnya macam terburu-buru sangat. Tapi, nak buat macam mana? Kalau ikut adat
kita memanglah bertunang dulu, tapi dah keluarga dia cakap terus kahwin, aku
nak komen apa lagi?” terkebil-kebil mata Hairil. Rasa macam sukar untuk dia
percaya dengan berita ini. Terlalu drastik.
“Kau memang serius ke ni?” perkahwinan
ini bukan perkara main-main. Tambah-tambah pula dalam keadaan secepat ini.
“Yes.
Aku yakin dengan keputusan aku.” Hairil masih lagi tak percaya. Mimpikah ini?
Pipinya ditampar halus. Aduh! Sakit! Sakit itu bererti ini memang nyata.
“Terus? Kau dah bagitahu mama? Apa pulak
mama cakap?” Hairul senyum. Senang hatinya bila mendengar soalan itu. Dengarnya
seperti kalut benar suara itu. Risau sangat agaknya. Tapi, apa-apa pun dia
cukup senang. Keprihatinan Hairil kepada mama, dari dulu sampai sekarang memang
tak pernah berubah.
Alhamdulillah.
“Aku dah bagitahu mama.” Terjongket
sebelah kening Hairil tatkala mendengarnya.
“Dah tu? Apa mama cakap?”
Hairul gelak. Dah gaya macam perempuan!
Kalut sungguh.
“Yang kau gelabah semacam ni kenapa?
Rileks lah.” Hairil diam. Nak tenang macam mana kalau dah keadaannya begini?
Belakang kepalanya dia garu. Malas pulak nak cakap lebih-lebih. Karang dia
panggil aku apa pulak nanti? Silap-silap dapat gelaran Pak Kiah propa pulak
nanti.
“Mama tak cakap banyak. Cuma..biasalah
terkilanlah sikit. Majlis akad anak sulung dia, mesti dia nak tengokkan?”
“Kau pun satu. Tunggu lah bila balik
sini.” Hairil tampil memberi cadangan.
“Kalau ikut perancangan awalnya,
memanglah macam tu. Tapi, tak boleh! Keluarga diaorang memang kalau boleh nak
sandingkan kami berdua sekali dengan kakak dia. Katanya nak buat dua majlis sekaligus.
Jimat and boleh buat besar-besaran
sikit.”
Pulak dah!
Hairul dah pening. Memang patutlah
keluarga diaorang tak menggalakkan Hairul bertunang sebab nak langsungkan dua
perkahwinan dalam sehari sekaligus.
“Macam-macam hallah.” Bibirnya mencebik
panjang. Berita tadi pun dia tak habis lagi rasa terkejutnya, ini dah datang
masalah baru pulak. Eloklah! Berita 2 in 1. Ada baik dan ada buruknya.
“Habis kau nak buat macam mana?”
“Aku ingat nak ajak mama datang sini.”
“Elok jugak tu!” jawab Hairil laju. Tak
terfikir pulak dia tadi.
“Tapi..”
“Tapi, apa?”
“Kau okey ke?”
Hairil tergamam sendiri.