Pengikut Setia.. XD

Saturday, 24 January 2015

Terbaik Bagimu Bab 3



“AKU kata keluar! Kau tak faham-faham lagi ke? Keluar!! Keluar!!” tempikan bersilih ganti itu mengejutkan Erma. Kaki yang mahu masuk terus ke halaman rumah dibatalkan sebaliknya ringan sahaja dirinya menyusup belakang pohon yang agak besar di depan rumahnya itu. Mata dikecilkan. Cuba mengecam siapa pemilik suara itu. kepada siapa pula dia tengking tadi?

            Teringatkan akan hal itu, kepala Erma terus memandang ke arah satu tubuh lagi. Mak? Hatinya mula tidak enak. Pantang benar rasanya kalau ada orang yang mahu cari pasal dengan ibunya. Silap cakap nanti tak pasal-pasal mak dia yang jadi mangsa.

            “Mak..cuba bawak bertenang mak.” Aliah cuba tenangkan keadaan yang tegang ketika itu. Nafas Suharti sepertinya sudah tidak mampu dikawal dengan baik. Turun naik dada orang tuanya itu. Tak cukup dengan itu, pandangan tajam mata itu benar-benar buat dirinya kecut perut.

“Kalau nak aku bertenang, baik kau keluar dari rumah aku ni!!” Erma tekup mulut. Tidak percaya kini telinganya mampu mendengar arahan itu secara depan-depan begini. Oh, bukannya depan tapi belakang-belakang begini.

“Mak..tolonglah faham keadaan saya, mak.”

“Argh! Aku dah tak peduli. Sejak laki kamu mati sampai sekarang ayat itu jugak yang kau duk mengemis dengan aku.” tengking suara itu lantang. Melenking kuat suara tuanya. Kalau tidak memikirkan keadaannya yang semakin uzur ini, sudah lama dia jerut leher anak tuanya ini.

Aliah ketap bibir. Paksaan itu membuatnya dalam dilema. “Sekarang kalau kau tak nak aku mengamuk, baik kau cepat-cepat pergi. Norman, anak aku dah nak balik!”

Kening terangkat sebelah. Norman dah nak balik?

“Tak payah nak buat muka terkejutlah. Cepatlah, Liah eh. Keluarlah. Aku dah penat asyik cakap benda yang sama kat kau. Cubahlah kau pasang telinga kau tu besar-besar sikit. Hih. Serabut sungguh rasanya. Kenapa kau bengap sangat?” Aliah diam. Jauh sekali mahu menjawab. Sekasar manapun kata-kata ibunya tetap dia diamkan sahaja.

Tidak sanggup melawan kata tua itu. Apa-apapun yang akan berlaku, orang tua ini tetap ibunya. Manusia yang telah berjaya buat matanya celik melihat dunia.

“Mak..cubalah mak fikir elok-elok mak. Kesiankanlah saya ni. Kalau saya keluar dari rumah ni, mana lagi tempat yang saya nak duduk kalau bukan sini mak? Ini aje satu-satunya harta yang kami ada.” bulat mata Suharti mendengarnya. Rasa telinganya berasap bila begitu mudah bibir itu mengaku bahawa ini hartanya.

“Kau ni siapa? Harta kau? Bila masa?!”

“Tolonglah mak. Liah merayu dengan mak..” pinta Aliah lemah.

“Aku tak peduli dengan rayuan bodoh kau ni.”

“Kesiankanlah saya, mak.” Aliah cuba nasib lagi. Jenuh dirinya kalau hari-hari perlu hadap dengan masalah ini? Kini segalanya bertambah rumit. Sejak dari dulu lagi sememangnya masalah ini yang menganggu mereka. Itu jugalah yang menjadi penyebab kenapa pertunangan antara Erma dan Qasyah putus.

Semuanya gara-gara ini. Akibat terlalu sibuk kumpul duit untuk mencari rumah, Qasyah  anaknya abaikan. Mungkin akibat diri terasa seperti disisihkan, Qasyah ambil keputusan untuk berundur diri.

“Kalau kau mati sekalipun, aku memang dah tak peduli!” Allah! Rasa bagaikan mahu pecah dadanya bila mendengar lantangan suara itu.

“Kenapa mak benci saya sangat? Apa salah saya pada mak?” dari dulu hingga kini, masalah yang dia lalui sehingga kini masih tiada jawapan. Suharti melayannya dingin tanpa sebarang sebab. Sejak dia lahir sehinggalah berjaya jadi mak orang, keadaan antara mereka tetap begini.

“Dasar anak tak guna! Memanglah aku tak pernah silap untuk bencikan kau. Dari kecik sampai besar..menyusahkan!” Rasa ingin menangis di situ juga. Entah di mana silapnya, segala kebaikan yang dia taburkan seolah-olah tidak membawa sebarang erti kepada wanita itu.

Buatlah kebaikkan setinggi langit sekalipun, jawapannya tetap sama. Benci tetap benci. Allah! Sukar sungguh mahu putarkan perasaan ibunya yang sorang ini.

“Sudah! Sekarang, baik kau…”

“Assalamualaikum.” Suharti diam. Hujung mata menjeling Aliah namun riak wajah Aliah juga seperti terkejut dengan kepulangan anaknya yang secara tidak terduga itu. Macam asap sahaja!

“Nek sihat?” lantunan suara guruh berserta kilat sudah berganti dengan sinaran pelangi nan indah. Senyuman terukir penuh cantik di lekuk bibir tua itu.  Huluran salam bersambut dengan mesranya.

“Sihat..” lembut jawabnya akan soalan dari cucunya itu.

“Kenapa duduk dekat luar ni? Panas kan. Jom masuk, nek?” pelawa Erma namun Suharti dengan yakinnya menolak akan ajakan itu. Sekadar menolak lembut tawaran itu pasti tidak jadi masalah bagi cucunya itu. Lagipun, macamlah tak biasa.

Selama inipun, tak pernah walau sekali segala ajakan anak si Aliah ini dia turuti. Cukup dengan senyum dan menolak lembut tawaran itu. Nak naikkan suara dia tak sampai hati. Benci-bencinya dia pun, rasa itu hanya kepada si Aliah sorang. Tak ada kena mengena dengan cucu dia. Cumanya..hatinya agak memberat sikit untuk berbuat baik pada keluarga ini.

Entah kenapa..

“Nek pergi dulu.. Ayam dengan itik tu tak ada orang nak jaga.” Alasan paling klishe yang diberikan Suharti. Sudah lali Erma mendengarnya. Sejak azali lagi. Tidak kiralah, pagi petang mahupun tengah hari, alasan itulah yang dia gunakan kalau mahu menolak ajakannya yang seperti tadi itu.

“Aku pergi dulu ya, Liah..”

“Yelah mak.. Hati-hati jalan tu.”

“Aku tahulah.” Nasib baik tak melenting lagi. Kalau tidak masaklah dia sebab kantoi dengan cucunya itu. Penat-penat selama bertahun-tahun dia jaga air mukanya dari menunjukkan sisi hitamnya bila berdepan dengan si Aliah ni, takkanlah dia mahu hancurkan sekarang?

Apa-apapun dia tetap akan berlagak seperti biasa. Dan..Aliah. Dia percaya anaknya itu pandai tutup mulut. Takkan sesekali dia buka pekung di dada untuk diceritakan pada anak-anaknya.

“Mak okey?” tanpa banyak soalan lagi, soalan itu diutarakan. Tak perlu nak belok ke kiri dan kanan, soalan ini memang yang dia amat nantikan. Risau benar lihat wajah ibunya ketika ini. Pucat tak berdarah sahaja. Cuma..kuranglah sikit dari tadi.

“Kenapa tanya macam tu? Mak okey aje.” Dalih Aliah.

“Mak nampak tak pokok manggis hujung sana tu?” arah telunjuk jari itu Aliah patuh. Pokok dekat dengan pintu pagar rumahnya diperhati sekilas. Apa kena dengan pokok itu pula? Dah mengidam manggis pulak ke anaknya yang sorang ni?

“Apa kena dengan pokok tu?” terluah juga soalan itu dari bibirnya. Puas dia tilik namun tak jugak jumpa apa-apa yang pelik di situ.

“Erma duduk situlah tadi. Lama tau.”

“Jadi?” soal Aliah. Masih tak mengerti.

“Mak ceritakanlah. Dari awal sampai akhir…” pujuk Erma lembut. Tangan itu digengam lalu dikucup.

Aliah tergamam. Baru tersedar apa yang dimaksudkan anak daranya itu tadi. Kalau sudah lama bertapa belakang pokok tu, memang tak ada lagilah ruang untuknya berahsia. Dipandang wajah itu. Penuh mengharap.

“Kalau tak mahu ceritakan pada semua anak-anak mak pun tak apa. Tapi..Erma sebagai sulung, eloklah kalau mak ceritakan pada Erma dulu. Erma berhak tahu mak. Ini tentang keluarga kita.”

Makin menggebu rasa ingin tahu Erma tentang masalah keluarga mereka ini. Kalau dulu, dia hanya tahu cerita atas angin aje. Nak tanya lebih-lebih, mak nya pula yang menjadi masalah. Suka berdiam diri. Pendam sahaja segala masalah di dada dia sendiri.

“Ceritakanlah, mak..” pujuk Erma lagi. Masih belum lelah mencuba. Aliah tarik nafas. Rasa berat benar mulutnya untuk dibuka. Namun..melihat wajah itu dia jadi tak sampai hati.

Lagipun, dia pasti segala perbualan antaranya dan Suharti tadi didengari anaknya. Cuma tidak tahu mulanya di mana.

“Baiklah..” akhirnya Aliah beralah jua. Bercerita pada Erma seorang sekurang-kurangnya memadailah baginya. Setidak-tidaknya ada juga wakil anaknya yang tahu apa yang terjadi dalam keluarga mereka.

Erma pasang telinga. Tak sabar sungguh dia mahu mendengar semuanya. Entah kenapa di saat itu, dadanya berdetak kencang pula. Bibir Aliah mengorak langkah, bersuara lembut pada si anak.


Dan ketika bicara bermula, segala sejarah kisah lama itu mula berlayar, memutarkan kembali nostalgia dahulu kala..

4 comments:

  1. Wahh..apa masalah nenek erma ni ngan mak dia eh..
    lain mcm benar angin dia...

    ReplyDelete
  2. Apa ya?
    Kenapa nek Erma dingin dengan ibunya?
    Mereka ada perselisihan faham ke selama ni?

    ReplyDelete

Assalamualaikum.
Anda dah baca smuanya? Sila-silalah komen, ya.
Beri pendapat mahupun penambahbaikkan.
Terima kasih.
Kerjasama anda, amat saya hargai.

Copyright© All Rights Reserved silencernovel.blogspot.com